MAIPs lancar sistem kewangan terkini
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan melancarkan ‘Sistem Kewangan Terkini MAIPs’, sebuah langkah penting dalam memantapkan pengurusan kewangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Sistem ini menggantikan sistem terdahulu yang telah digunakan sejak tahun 2012 oleh MAIPs.
Sistem Kewangan MAIPs ini menawarkan ciri-ciri baharu seperti fungsi yang lebih baik, kecekapan kerja yang lebih tinggi, pengalaman pengguna yang lebih memuaskan, penggunaan teknologi pengkomputeran awan, serta akses fleksibel melalui pelayar web.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (KPE) MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor, pelaksanaan sistem ini adalah bukti komitmen MAIPs terhadap transformasi digital.
“Sistem kewangan baharu ini akan memacu pelaksanaan tugasan dengan lebih efisien tanpa kekangan waktu dan tempat. Ia dapat lebih menyegerakan tindakan, meningkatkan perkhidmatan kepada rakyat, dan menyokong usaha MAIPs untuk terus memacu kecemerlangan dalam pengurusan kewangan,” jelas beliau.
Beliau juga menyatakan bahawa sistem ini adalah sebahagian daripada Pelan Pendigitalan MAIPs 2023–2027, selaras dengan inisiatif Pembangunan Amil dalam Pelan Agihan Holistik MAIPs 2.0 serta Pelan Strategik MAIPs 2021–2025.
“Kami berharap sistem ini dapat meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap pengurusan kewangan MAIPs dan memastikan setiap sumbangan serta amanah disalurkan dengan lebih sistematik, telus, dan cepat,” tambahnya.
Di kesempatan ini, MAIPs turut merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Ahli Jawatankuasa ICT dan Pendigitalan MAIPs serta semua pihak yang telah memberikan sumbang saran dalam menjayakan pembangunan dan pelaksanaan sistem ini.
“Usaha ini tidak mungkin berhasil tanpa dedikasi dan kerjasama erat daripada semua pihak yang terlibat,” kata Mohd Nazim.
Pelancaran sistem kewangan ini menjadi simbol transformasi MAIPs ke arah pengurusan kewangan yang lebih profesional dan efisien, demi memastikan kesejahteraan rakyat dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat Islam di Perlis. MAIPs optimis bahawa langkah ini akan memperkukuh usaha mencapai visi dan misinya dalam era pendigitalan.
Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan berangkat menyempurnakan pelancaran sistem kewangan tersebut sempena program Majlis Sumbangan MAIPs di Masjid Al-Ariffin Padang Katong, Kangar.
Majlis tersebut dianjurkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bagi menyalurkan bantuan berbentuk kewangan kepada anak-anak Kariah dari golongan yang kurang berkemampuan dan juga asnaf di negeri ini.
Tuanku Raja Muda merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs berkenan untuk menyampaikan sumbangan MAIPs sebanyak RM700 secara tunai kepada melbatkan 70 orang penerima daripada anak kariah Padang Katong dan 70 orang lagi dari anak kariah Behor Temak dengan jumlah penuh pada kali ini disalurkan oleh MAIPs sebanyak RM98,000.
Para asnaf yang terlibat juga berpeluang untuk menyaring kesihatan secara percuma. Penerima juga dikongsikan dengan ceramah jauhi najis dadah daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Perlis dan ceramah ‘Bangun Jiwa Asnaf’ dari pihak MAIPs.