Berita

MAIPs jalin kerjasama dengan ADEF dan WIC di Namibia

KANGAR 11 Ogos – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) komited menjalinkan kerjasama dalam pelbagai bidang pengurusan hal ehwal Islam dengan Africa Development and Education Foundation (ADEF) serta Windhoek Islamic Centre (WIC).

Organisasi berkenaan yang berpengkalan di ibu negara Namibia, Windhoek telah bersetuju untuk merealisasikan hasrat kerjasama strategik dengan MAIPs dalam rangka memperteguhkan lagi peranan organisasi Islam itu bagi menyemarakkan kefahaman Islam di kalangan masyarakat.

Demikian menurut kenyataan media MAIPs mengenai persetujuan yang diperolehi ketika sesi pertemuan dan perbincangan antara kedua belah pihak yang berlangsung di Pusat Islam Windhoek Namibia baru-baru ini.

Delegasi MAIPs diketuai Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail telah mengadakan lawatan ke Pusat Islam Windhoek sempena Safar Ilmi MAIPs serta meluangkan masa sekitar 1 jam bagi mendengar taklimat dan mengadakan lawatan ke aktiviti di pusat berkenaan.

Keberangkatan Baginda bersama-sama anakanda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail disambut oleh Setiausaha ADEF Dr. Armas Shikongo, Bendaharinya Dr. AHmad Cheikhyoussef dan Imam Syeikh Harun.

Turut serta dalam delegasi Baginda ialah Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Namibia, Datuk Dr Mohamad Rameez Yahaya barsama-sama Mufti Perlis, Datuk Arif Perkasa Prof Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Prof Datuk Dr Zaliman Sauli dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Pada sesi berkenaan, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan mengumumkan sumbangan khemah dan peralatan program daripada MAIPs untuk pusat berkenaan, selain turut membincangkan hasrat pelaksanaan Program ‘Soup Kitchen’ yang merupakan aktiviti memberikan jamuan makanan panas kepada golongan asnaf dan berkeperluan yang diuruskan oleh pihak sukarelawan muslimah pusat berkenaan.

Selain itu, MAIPs turut membincangkan mengenai keperluan pengurusan pusat Islam itu yang turut melaksanakan aktiviti pengimarahan masjid, aktiviti kebajikan dan sosial serta pelaksanaan pendidikan agama Islam kepada para pelajar di persekitaran terlibat.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button