MAIPs Guna Pakai SSPA untuk Perkhidmatan Lebih Cemerlang
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyaksikan sesi menandatangani surat cara dan perjanjian Pekhidmat Kontrak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang berlangsung di Galeri DiRaja Arau baru-baru ini.
Majlis ini menandakan pelaksanaan Sistem Saraan Pekhidmat Awam (SSPA) di MAIPs, selaras dengan keputusan Persidangan Majlis Bilangan 6 bagi tahun 2024 yang dipengerusikan oleh Baginda sebelum ini.
Pelaksanaan ini juga bertepatan dengan keputusan Kerajaan Persekutuan yang telah memperkenalkan SSPA sebagai langkah strategik untuk memperkasakan perkhidmatan awam melalui struktur saraan yang lebih dinamik dan kompetitif.
Sistem ini bertujuan memastikan pekhidmat awam menikmati ganjaran yang lebih adil berdasarkan prestasi, kompetensi, dan tahap pencapaian masing-masing.
Selain itu, SSPA turut memberi fokus kepada pembangunan modal insan dengan peluang peningkatan kerjaya yang lebih luas, pelan latihan komprehensif, serta sokongan kebajikan yang lebih baik.
Walaupun pekerja lantikan kontrak perkhidmatan (contract of service) tidak layak ditawarkan opsyen SSPA, pindaan atau perubahan kepada perjanjian kontrak sedia ada hendaklah dibuat secara bertulis dan dipersetujui oleh kedua-dua pihak. Langkah ini penting bagi memastikan pelarasan gaji yang setara dengan SSPA dapat dilaksanakan, sekaligus memberikan manfaat yang adil kepada pekerja kontrak di MAIPs.
Hadir sama dalam majlis ini ialah Setiausaha Bahagian Pembangunan Sumber Manusia Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Azmi Abdul Latip dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor.
Mohd Nazim menyifatkan inisiatif ini sebagai pemangkin kepada budaya kerja berprestasi tinggi yang akan memperkukuhkan fungsi dan peranan MAIPs dalam memenuhi amanah kebajikan ummah serta dapat memenuhi keperluan dan ekspektasi masyarakat dengan lebih efisien dan profesional.
“Pengurusan MAIPs berharap agar pendekatan baharu ini menjadi pemangkin kepada inovasi dan kecemerlangan kerja dalam kalangan pekhidmat MAIPs, sekaligus mengukuhkan peranan MAIPs sebagai institusi utama dalam pengurusan hal ehwal agama Islam di Perlis,” tambah beliau
Majlis diakhiri dengan sesi ramah mesra Tuanku Syed Faizuddin Putra bersama para tetamu jemputan, termasuk pegawai-pegawai kanan MAIPs.
FOTO