MAIPs gesa pendekatan berhikmah dalam mendepani cabaran
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menggesa agar pendekatan berhikmah menjadi panduan kepada seluruh umat Islam dalam mendepani cabaran zaman.
Bertitah demikian, Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Yang DiPertua MAIPs ketika berkenan berangkat ke Program ‘Sesi Interaksi Wacana Hikmah’ di Masjid Al-Noor, Abuja, Nigeria baru-baru ini sempena Safar Ilmi MAIPs menurut kenyataan MAIPs hari ini.
Mengiringi Baginda, Anakanda yang juga Waris Kedua Negeri iaitu Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Turut hadir, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Abuja, TYT Aiyub Omar, Mufti Perlis, Datuk Arif Perkasa Prof. Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.
Menyambut Tyanku Syed Faizuddin Putra adalah beberapa tokoh ilmuan dan sarjana Nigeria antaranya Pengerusi Kebangsaan NGO Jama’atu Izalatul Bidi’ah wa Ikamatus Sunnah, Sheikh Abdullahi Bala Lau dan Setiausaha Agungnya Sheikh Muhammad Kabiru Haruna Gombe serta Pengerusi Kesatuan Inisiatif Imam Abuja, Sheikh Tajudeen Bello.
Dalam hubungan itu, MAIPs sentiasa memastikan agar setiap tindakan oleh Pengurusannya sentiasa rasional, berorientasikan nilai dan etika.
Atas faktor demikian MAIPs melaksanakan pendekatan turun ke lapangan melalui pelbagai program seperti MAIPs Peduli, Hijrah Minda dan Ziarah Pengurusan.
Selain itu, MAIPs turut menubuhkan Pusat Dakwah yang dinamakan sebagai Perlis Centre of Wisdom (PCW) yang bermatlamatkan pelaksanaan agenda dakwah berstrategi selain memberikan persepsi positif berkaitan Islam.
Agenda pendidikan adalah nadi dalam melahirkan generasi berhikmah serta bijaksana, menjadikan MAIPs sentiasa berusaha menjuarai pelbagai pendekatan baharu seperti penubuhan Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) yang memberikan fokus kepada latihan dan penempatan pekerjaan di kalangan golongan asnaf.
Selain itu, MAIPs sentiasa bekerjasama dengan institusi-institusi dan agensi pendidikan seperti Jabatan Pendidikan Negeri Perlis dan institusi pendidikan tinggi (IPT) di Perlis.
Penubuhan Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) adalah manifestasi kepada kesungguhan MAIPs dalam memupuk agenda akademik dan pendidikan.
Selain itu, MAIPs turut menubuhkan pusat kecemerlangan pendidikan Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE) yang menjalankan pelbagai program kecemerlangan pendidikan.
Mohd Asri dalam perkongsian beliau menegaskan bahawa, kebijaksanaan atau hikmah mestilah sentiasa menjadi warisan Umat Islam dan perlu disuburkan demi kebaikan ummah keseluruhan.
Tuanku Pemangku Raja selepas itu berkenan menunaikan solat zohor secara berjamaah di masjid itu.