Agama

MAIPs cari rakan strategik antarabangsa

BERLIN 27 Sept. – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berhasrat untuk cuba menganjurkan lebih banyak program-program secara sendiri mahupun bersama rakan-rakan strategiknya yang lain bagi menjadi tuan rumah majlis atau program persidangan di peringkat kebangsaan atau antarabangsa di negeri Perlis.

Tujuannya adalah untuk bertukar pandangan, perkongsian pengalaman dan memperkukuhkan lagi ukhwah sesama umat Islam meskipun berbeza bahasa, latar belakang dan bangsa.

Program atau dialog seumpama ini juga diharap akan mampu menjadi platform bagi medium pertukaran pelbagai budaya dan bahasa, bertukar kepakaran dan pengetahuan dalam pelbagai bidang serta memacu inovasi, resolusi dan pandangan terkini.

Persidangan-persidangan ini juga boleh menjadi platform untuk membincangkan peranan serta sumbangan dunia Islam dan mencapai kecemerlangan ekonomi serta pembangunan umatnya.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan singgah menyerahkan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada Masjid Al-Falah atau Masjid Indonesia Berlin yang juga dikenali sebagai ‘Indonesische Weisheit und Kultur Zentrum’ di Perlebreger Strasse No 61 yang diterima oleh Pegawai masjid berkenaan, Hafidz Kesdli.

Dari sudut pengalaman, Perlis telah melaksanakan pelbagai program dakwah dan ilmiah seperti program Perkampungan Sunnah sebanyak 9 siri sejak tahun 2015, serta juga telah melaksanakan Program Perlis International Sunnah Convention (PISC) bermula tahun 2023 sebagai acara tahunan yang telah disertai oleh pelbagai peserta dari dalam dan luar negara.

Selain itu, Perlis juga telah menjadi tuan rumah bagi Majlis Ilmuan Nusantara yang merupakan medium interaksi dan perkongsian idea serta maklumat di kalangan para sarjana dan pendakwah nusantara selain turut menjayakan program dakwah serantau dengan pelbagai NGO dan pihak entiti berautoriti di peringkat lokal dan global.

Untuk rekod, terdapat 1.3 bilion umat Islam di dunia ini. Berjuta-juta umat Islam tinggal di Eropah dan juga di Asia.

Foto : MAIPs.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button