Mahkamah Syariah Perlis perlu tingkat sistem penyampaian
Sudah tiba masanya untuk Mahkamah Syariah Negeri Perlis menimbangkan untuk meningkatkan sistem penyampaian dengan lebih berkesan sejajar dengan perkembangan teknologi pada hari ini.
Ia juga selaras dengan pindaan Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2006 yang telah memasukkan tambahan seksyen 72B iaitu memberikan bidang kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk mengadakan perkhidmatan secara elektronik.
Usaha-usaha ke arah mempercepatkan penyelesaian kes dan penyediaan rekod perbicaraan menggunakan teknologi terkini adalah antara yang perlu dilakukan. Sebagai contoh, penggunaan sistem “Voice to Text” dalam perbicaraan. Sistem ini secara automatik mentranskripsi ucapan Hakim, Peguam Syari’e, saksi dan semua pihak yang terlibat dalam perbicaraan ke dalam teks bertulis.
Transkripsi automatik ini akan dapat memastikan rekod perbicaraan lebih tersusun dan dapat disimpan dalam bentuk digital yang mudah untuk diakses oleh pihak mahkamah itu sendiri. Ianya juga akan mempercepatkan proses penyediaan Nota Keterangan dan Alasan Penghakiman jika terdapat kes yang dirayu ke mahkamah yang lebih tinggi.
Penggunaan cara ini juga akan dapat menjimatkan masa dan kos yang diperlukan untuk menghasilkan transkrip perbicaraan secara manual seperti yang diamalkan sekarang ini.
Jika ianya dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat ini, Mahkamah Syariah Negeri Perlis mungkin akan menjadi contoh kepada negeri-negeri yang lain dalam aspek mengimplementasikan teknologi dalam perbicaraan.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Penyampaian Sumbangan Agihan Zakat MAIPs yang diadakan di Masjid Al-Istiqomah Teluk Jambu, Bintong dekat Kangar baru-baru ini.
Pada masa yang sama Tuanku Raja Muda Perlis juga turut menitah tahniah kepada seluruh warga kerja Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perlis atas kejayaan pencapaian 100% KPI (Key Performance Indicator) Jabatan iaitu dapat mempercepatkan penyelesaian kes-kes di mahkamah, kejayaan pindaan Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2006 bagi memantapkan perkhidmatan kehakiman syariah dan juga pindaan Peraturan-peraturan Peguam Syarie Negeri Perlis 2024 dengan harapan semoga JKSNPs dapat terus mempertingkatkan prestasi penyampaiannya pada tahun 2025.
Majlis tersebut dianjurkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bagi menyalurkan bantuan berbentuk kewangan kepada anak-anak kariah dari golongan yang kurang berkemampuan dan juga asnaf di negeri ini.
Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs menyerahkan RM700 secara tunai kepada seramai 70 orang penerima terpilih daripada Kampung Teluk Jambu dan 70 orang lagi dari Abi dengan jumlah penuh disumbangkan MAIPs pada kali ini sebanyak RM98,000.
Para asnaf yang terlibat juga berpeluang untuk menyaring kesihatan secara percuma. Penerima juga dikongsikan dengan ceramah ‘Jauhi Najis Dadah’ daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Perlis dan ceramah ‘Bangun Jiwa Asnaf’ dari pihak MAIPs.
GALERI