MahkamahNasional

Mahkamah perintah 9 termasuk 5 pembuli bayar lebih RM600,000

Mahkamah Persekutuan Putrajaya memerintahkan sembilan pihak termasuk lima pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Sains di Terengganu membayar ganti rugi lebih RM600,000 kepada mangsa buli yang mengalami cacat pendengaran kekal, lapan tahun lalu.

Panel tiga hakim yang bersidang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil sebulat suara memutuskan sembilan pihak berkenaan bertanggungjawab dan cuai ke atas mangsa selaku plaintif yang kini berusia 22 tahun.

Sembilan pihak terbabit ialah lima bekas pelajar Tingkatan Lima sebagai defendan pertama sehingga kelima yang kini berumur 25 tahun, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Sulaiman Ngarif (keenam), bekas Pengetua, Meriam Jusoh (ketujuh), Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan Malaysia (kelapan) dan Kerajaan Malaysia (kesembilan).

Kejadian pukul, buli dan serangan itu berlaku di bilik asrama ketua pengawas Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SESMA), Terengganu pada 26 April 2015 dan ketika itu, plaintif berusia 14 tahun.

Mahkamah memutuskan keputusan itu menerusi aplikasi Zoom semalam dan mendapati Ketua Pengarah KPM dan Kerajaan bertanggungjawab secara vikarius (liabiliti ganti rugi) akibat kecuaian warden, PKHEM dan Pengetua.

Susulan itu, mahkamah mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 2019 dan mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan pada 20 Mei 2021.

Mangsa ketika kejadian adalah pelajar Tingkatan Dua sekolah itu memfailkan tuntutan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu melalui bapanya, Ahmad Fauzi Abdullah terhadap sembilan defendan itu menerusi Peguamcara, Tetuan WA Wan Adnan & Associates.

Berdasarkan tuntutan itu, mangsa mendakwa dipukul, dibuli dan diserang oleh lima pelajar senior sehingga mengakibatkan gegendang telinga kanannya pecah serta mengalami kecacatan kekal dan hilang pendengaran.

Plaintif juga mengalami trauma teruk dan tekanan perasaan sehingga memaksanya menjalani rawatan psikiatri.

Pada 29 September 2019, Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu mendapati kesemua defendan bertanggungjawab atas kecederaan itu dan membenarkan semua tuntutan ganti rugi termasuk ganti rugi am kecederaan, khas dan teladan.

Bagaimanapun, pada 20 Mei 2021, Mahkamah Rayuan sebulat suara mengetepikan keseluruhan keputusan itu dan memutuskan plaintif gagal membuktikan liabiliti lima defendan itu telah memukul, membuli dan menyerangnya.

Semua hakim Mahkamah Rayuan itu juga menetapkan bahawa defendan keenam dan ketujuh termasuk warden dan pengetua tidak cuai dalam menjalankan tugas terhadap pelajar.

Susulan itu, defendan kelapan dan kesembilan tidak dipertanggungjawabkan atas tuntutan plaintif.

Dalam kes itu, plaintif diwakili peguam, Wan Azliana Wan Adnan dan Hisyam Yusof.

Sementara itu, Wan Azliana yang juga Ketua Gerakan Anti Buli berkata, kes ini adalah satu kemenangan buat semua mangsa buli di seluruh Malaysia.

“Saya berharap keputusan kes ini dapat dijadikan pengajaran dan bertindak sebagai ‘deterrent’ bagi kes buli yang lain,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Pada 29 September 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu memerintahkan sembilan pihak membayar tuntutan RM616,634.20 kepada plaintif yang menjadi mangsa buli.

Akibat dipukul, ditendang dan ditampar oleh pelajar senior dalam kejadian buli itu, mangsa kehilangan pendengaran sebelah kanan kerana gegendang telinga pecah menyebabkannya tidak boleh melakukan aktiviti air seumur hidup selain mengalami beberapa kecederaan lain.

Malah plaintif yang juga pelajar pintar dan memperoleh keputusan 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada 2013 turut mengalami tekanan perasaan dan trauma sehingga terpaksa bertukar ke sekolah lain pada Julai 2015. – SM

BACA 9 pelajar mengaku tak salah buli pelajar junior hingga parah

BACA Ibu bersyukur, 9 termasuk pembuli diperintah bayar RM616,634.20

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button