Politik

Mahkamah dengar rayuan Najib berkaitan titah diraja tahanan rumah

PEGUAM utama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, mendedahkan kewujudan perintah tambahan tahanan rumah bagi Najib menerusi surat rasmi daripada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Surat tersebut, yang ditandatangani oleh Pengelola Bijaya Diraja Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Sultan Pahang, Datuk Ahmad Khirrizal Abdul Rahman, telah dihantar kepada anak Najib, Datuk Mohd Nizar. Muhammad Shafee memaklumkan bahawa surat itu mengesahkan wujudnya titah adendum diraja untuk membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara dalam tahanan rumah.

Menurut Muhammad Shafee, Istana Pahang telah menghubungi Mohd Nizar pada 2 Disember tahun lalu, memaklumkan mengenai perintah tambahan tersebut. Pada 4 Januari, Mohd Nizar diperintahkan untuk menghadap Sultan Pahang, di mana baginda menyerahkan salinan titah adendum sebagai bukti rekod peribadi.

“Keesokan harinya, pada 5 Januari, Mohd Nizar menerima salinan dokumen itu. Walaupun dokumen tersebut tidak mempunyai tandatangan Sultan, ia merupakan rekod peribadi baginda dan menjelaskan alasan perintah tersebut,” jelas Muhammad Shafee ketika berhujah di Mahkamah Rayuan hari ini.

Dalam prosiding mahkamah, Muhammad Shafee turut memaklumkan bahawa pasukannya telah memfailkan permohonan untuk meminda notis usul berkaitan rayuan Najib. Panel tiga hakim yang diketuai oleh Datuk Azizah Nawawi memutuskan agar permohonan pindaan tersebut didengar bersama rayuan utama.

Pindaan ini bertujuan untuk memperkemaskan afidavit oleh Mohd Nizar, yang menyokong permohonan Najib bagi mendapatkan kebenaran melaksanakan titah adendum diraja.

Bagi pihak kerajaan, prosiding ini diwakili oleh Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan dan Ahmad Hanir Hambaly. Turut hadir ialah Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, yang bertindak sebagai peguam mewakili ahli-ahli Parlimen Malaysia.

Mahkamah kini menunggu keputusan sama ada rayuan dan permohonan pindaan ini akan diterima, yang bakal menentukan status tahanan Najib di bawah perintah tambahan tahanan rumah.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button