Luar Negara

Mahkamah AS tolak rayuan Putera Andrew

Gagal batal saman kes serangan seksual

RAYUAN Putera Andrew untuk membatalkan saman terhadapnya atas dakwaan serangan seksual ditolah oleh seorang Hakim di New York, Lewis Kaplan.

Kes terhadap kerabat diraja Britain yang berusia 61 tahun itu bagaimanapun diteruskan selepas rayuannya ditolak semalam.

Hakim New York, Lewis Kaplan menolak usul Andrew untuk membatalkan saman yang difailkan oleh Virginia Giuffre.

Giuffre mendakwa ahli perniagaan Jeffrey Epstein “mengongsikannya” dengan pelbagai lelaki kaya dan berpengaruh termasuk Putera Andrew.

Andrew ialah putera kedua Ratu Elizabeth II dan beliau berulang kali menafikan dakwaan berkenaan.

Peguam Andrew, Andrew Brettler sebelum ini memohon Kaplan menolak saman itu atas alasan, satu penyelesaian telah ditandatangani antara Giuffre dan Epstein pada 2009.

Susulan itu, hujah Giuffre, “mengenepikan haknya” untuk menyaman defendan lain berkaitan jenayah seks yang didakwa dilakukan oleh Epstein.

Dalam perjanjian itu yang butirannya pertama kali didedahkan bulan ini, Giuffre bersetuju menarik balik tuntutan sivil bernilai USD500,000 terhadap Epstein.

Perjanjian itu mengandungi peruntukan yang didakwa melindungi “pihak lain yang berpotensi menjadi defendan” daripada disaman berkaitan penderaan seksual dilakukan oleh Epstein.

Epstein bagaimanapun  bertindak membunuh diri dalam penjara pada 2019.

Giuffre menyaman Andrew untuk jumlah yang tidak dinyatakan tahun lalu dengan mendakwa putera raja itu menyerangnya secara seksual pada 2001 ketika wanita itu baru berusia 17 tahun dan masih kanak-kanak mengikut undang-undang Amerika.

Katanya, Andrew menyerangnya di kediaman Epstein di New York selain di satu pulau peribadi milik Epstein di US Virgin Islands.

Giuffre turut mendakwa Andrew menyerangnya secara seksual di kediaman sosialit Ghislaine Maxwell yang pada Disember lalu didapati bersalah memperdagangkan remaja bawah umur secara seksual untuk Epstein.

Putera Andrew kini masih belum dikenakan sebarang tuduhan. – SM

 

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button