Mahkamah arah Syamsul bayar kepada Ira Kazar kerana menyusahkan
PENGARAH sensasi Syamsul Yusof telah diarahkan oleh mahkamah supaya membayar RM200 sebagai kos kehadiran sebanyak RM200 kepada bekas isterinya, Ira Kazar.
Perkara itu diputuskan Hakim Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur Maizatul Aliza Chee Din pada prosiding yang berlangsung pada hari ini.
Menurut peguam syarie mewakili Ira Kazar, Mohammad Fadhil Abdul Razak, pihaknya memohon kos kehadiran sebanyak RM3,000 kerana menyusahkan defendan iaitu Ira dan plaintif (Syamsul) tidak berterus-terang kerana wujudnya lafaz taklik di luar mahkamah pada Jun lalu.
“Kes hari ini sudah selesai, kami hadir untuk tutup terus kes permohonan cerai yang difailkan Syamsul.
“Kes yang difailkan Ira sudah selesai pada 5 September lalu dan hari ini pihak Syamsul mahu menarik balik permohonan.
“Mahkamah sudah meluluskan dan memerintahkan kos sebanyak RM200 diberikan. Cuma saya ingin menyatakan di sini saya kesal lafaz cerai sudah berlaku pada Jun tetapi tindakan diambil pada Ogos bukan merujuk pada pengesahan lafaz cerai sebaliknya merujuk kepada permohonan cerai biasa.
“Sebab itu kami failkan di Kuala Selangor. Ini kerana kalau Syamsul tidak failkan, Ira yang kena failkan. Berikutan itu ramai yang keliru. Jadi disebabkan itu hari pihak Syamsul menarik balik kes dan tutup terus,” katanya.