Ekonomi

LTAT perjelas isu dibangkitkan di Parlimen berhubung laporan PAC

Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) menjelaskan bahawa pelan penstrukturan semula yang dirujuk di Parlimen pada 5 Disember 2024 tidak dibatalkan.

Lembaga itu dalam satu kenyataan memberitahu. sebaliknya, ia telah diperhalusi untuk menangani cabaran semasa dan peluang yang muncul selaras dengan situasi pasaran terkini.

Pelan penstrukturan baharu ini mencerminkan kepekaan dan daya tindak LTAT dan Kementerian Pertahanan dalam menangani isu kestabilan kewangan, mengurus liabiliti, mempelbagaikan pelaburan, dan membina portfolio yang kompetitif serta mampan demi kepentingan semua pihak pemegang taruh.

Pelupusan Aset: Langkah Pengimbangan Semula Portfolio Pelaburan, Menangani Kebergantungan Berlebihan dan Pengurusan Liabiliti.

LTAT menegaskan bahawa inisiatif pelupusan aset adalah suatu langkah strategik, dan bukannya penyelesaian jangka pendek.

Pendekatan ini bertujuan mengurangkan kebergantungan berlebihan terhadap pelaburan dalam Boustead-Affin dan ianya selaras dengan cadangan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (“PAC”) yang menggesa LTAT untuk mempelbagaikan portfolio.

Tatakelola dan proses pelupusan aset yang telus di setiap entiti Kumpulan LTAT, adalah untuk memastikan penjanaan nilai optimum dapat dihasilkan, dan dilaburkan semula ke dalam aset berdaya tinggi dan mampan untuk meningkatkan daya tahan kewangan LTAT serta menjamin kebajikan pencarum LTAT dalam jangka panjang.

Transaksi akan dilaksanakan dengan ketelusan dan integriti yang tinggi.

LTAT juga ingin menegaskan bahawa semua transaksi yang dilakukan adalah sejajar dengan kepentingan strategik negara seperti yang digariskan dalam Kerangka Ekonomi MADANI.

Selain itu, LTAT ingin menjelaskan dua transaksi yang dirujuk:

i. Penafian Mengenai Tanah Batu Kawan Berhubung dengan tanah di Batu Kawan, LTAT menegaskan bahawa LTAT serta Syarikat Kumpulannya tidak memiliki sebarang tanah di kawasan tersebut. Kenyataan mengenai pelupusan tanah ini adalah tidak benar dan mengelirukan.

ii. Penjelasan Mengenai Transaksi EcoWorld Boustead Properties telah menjemput 19 syarikat, termasuk syarikat berkaitan kerajaan (“GLC”) dan firma swasta, untuk menyertai proses Notis Pelawaan Cadangan (“RFP”). Daripada 10 syarikat yang menyatakan minat, hanya satu syarikat iaitu Eco World Development Group Bhd (“EcoWorld”), syarikat milik majoriti Bumiputera, telah mengemukakan cadangan setelah melalui proses tender yang ketat dan telus.

EcoWorld, melalui syarikat usaha sama Mutiara Balau Sdn Bhd (“MBSB”) — di mana BProp merupakan pemegang saham minoriti — telah dipilih selepas penilaian yang menyeluruh. Faktor utama dalam keputusan ini termasuk tawaran komersial kompetitif EcoWorld, cadangan pembangunan yang inovatif, kedudukan kewangan yang  kukuh, dan rekod pencapaian yang terbukti di Malaysia serta pasaran antarabangsa.

Pelupusan tanah di Semenyih kepada MBSB bertujuan untuk memacu pertumbuhan kawasan pinggir bandar yang sedang berkembang, meningkatkan nilai, serta menyokong objektif ekonomi MADANI Malaysia.

Selain itu, hasil tunai daripada transaksi ini akan memainkan peranan penting dalam membiayai program penanaman semula kelapa sawit oleh Boustead Plantation Berhad (“BPlant”), memastikan pemulihan tanah yang telah matang dan meningkatkan kecekapan operasi.

Pendekatan strategik ini bukan sahaja akan mengukuhkan kelestarian jangka panjang syarikat, tetapi juga sejajar dengan keutamaan negara melalui pengoptimuman penggunaan tanah untuk pertumbuhan ekonomi.

Berganding bersama dengan GLC lain, sebarang transaksi korporat Kumpulan LTAT bertujuan untuk menyokong pembangunan sektor strategik ekonomi utama, termasuk industri berimpak tinggi seperti semikonduktor dan tenaga boleh diperbaharui, yang menyumbang secara signifikan kepada kemajuan ekonomi Malaysia.

Komitmen terhadap Ketelusan dan Akauntabiliti LTAT kekal komited untuk mengekalkan standard tertinggi dalam ketelusan dan akauntabiliti.

Untuk memastikan semua tindakan sejajar dengan jangkaan pihak berkepentingan, pelan penstrukturan akan dibentangkan kepada Kabinet untuk makluman dan sokongan menyeluruh.

Pendekatan ini mencerminkan dedikasi LTAT terhadap penglibatan terbuka dan konstruktif dengan Kementerian Pertahanan, Kementerian Kewangan, dan pihak berkepentingan utama lain, sambil mengukuhkan fokus kepada tadbir urus yang bertanggungjawab dan strategi yang jelas.

Pelan penstrukturan baharu ini bertujuan untuk mengurangkan penumpuan aset LTAT dalam pelaburan Boustead-Affin kepada 35%, berbanding sasaran 50% dalam pelan sebelumnya.

Langkah ini akan memberi penyelesaian jangka panjang yang lebih mampan terhadap cabaran portfolio LTAT, selaras dengan cadangan PAC.

LTAT kekal komited untuk menjaga kepentingan pencarumnya dan memastikan keselamatan kewangan mereka. Melalui penekanan terhadap pertumbuhan strategik, pengurusan aset yang berhemah dan berhikmah, dan kelestarian jangka panjang dana, LTAT melaksanakan langkah bertanggungjawab untuk membina masa depan yang stabil dan berdaya tahan demi kesejahteraan semua pencarum. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button