Animasi Mechamato antara tercalon dalam FFM ke-33
SATU kejayaan besar untuk industri animasi tempatan! Mechamato, animasi yang semakin mendapat tempat di hati penonton, kini tercalon dalam Anugerah Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-33.
Ini adalah satu pencapaian yang membanggakan, bukan hanya untuk pembuat filem, tetapi juga untuk seluruh industri animasi negara.
Menurut Pengarah Kreatif Mechamato, Muhammad Anas, beliau amat bersyukur dan teruja dengan pencapaian ini.
“Saya sangat berbesar hati dan terima kasih kepada industri filem. Sebelum ini, animasi hanya dilihat sebagai tontonan kanak-kanak sahaja, tetapi kini ia dihargai sebagai satu bentuk seni dalam pembuatan filem,” ujarnya.
Meskipun Mechamato disasarkan kepada penonton kanak-kanak dan keluarga, pengiktirafan yang diterima menunjukkan kemajuan besar dalam industri animasi tempatan.
“Mereka dapat menghargai nilai filem ini sebagai sebuah karya seni. Ini adalah satu kemajuan besar dalam dunia filem animasi di Malaysia,” tambah Anas penuh harapan.
Antara kategori yang dicalonkan untuk filem animasi kegemaran rakyat ini adalah Filem Terbaik, Pengarah Terbaik, Penata Bunyi Terbaik, Kesan Khas Terbaik, dan Poster Terbaik.
Anas turut menyatakan bahawa saingan tahun ini amat sengit, namun beliau menyambutnya dengan penuh rasa hormat.
“Cabaran terbesar adalah untuk kategori Pengarah Terbaik dan Filem Terbaik. Pencalonan ini sudah cukup menjadi penghargaan kepada kami, namun saya tidak nafikan kami berharap yang terbaik. Apa pun, doakan yang terbaik untuk kami,” katanya penuh rendah hati.
Dengan pencalonan ini, Mechamato telah membuktikan bahawa animasi bukan sekadar hiburan untuk kanak-kanak, tetapi juga sebuah karya seni yang mampu bersaing di pentas filem negara.