Lotus Cars dedahkan harga dan spesifikasi Eletre untu pasaran Eropah!
Selepas memperkenalkan Lotus Eletre pertama pada Mac, Lotus Cars pada 25 Oktober mendedahkan harga dan spesifikasi untuk pasaran Eropah.
Eletre bukan sekadar sebuah lagi SUV dari jenama berprestasi bagi mendapatkan pembeli, ianya adalah SUV hiper dengan kuasa 450 kilowatt (kW) (603 hp) dan 675 kW (905 hp).
Eletre adalah produk buatan antarabangsa dengan pembangunan di Hethel dan Conventry, United Kingdom (UK), Raunheium, Jerman dan Wuhan, China.
Ada tiga varian yang ditawarkan untuk pembeli di Eropah iaitu Eletre, Eletre S dan Eletre R dengan dua pilihan rangkaian kuasa.
Eletre dan Eletre S berkuasa 450 kW (603 hp) dengan jarak gerak 600 kilometer (km) manakala varian paling laju Eletre R berkuasa 675 kW (905 hp) dan jarak gerak 490 km.
Daya kilas Eletre dan Eletre S ialah 710 Nm, Eletre R pula lebih perkasa dengan 985 Nm.
Ketiga-tiga model dibekalkan bateri 112 kilowatt jam (kWj) dan tempoh pengecasan dari 10 hingga 80 peratus hanya memerlukan 20 minit menggunakan pengecas pantas.
Eletre bukan sebuah kereta ringkas seperti model Lotus lain yang berkonsepkan keseronokan pemanduan mutlak.
Eletre dibuat sebagai kenderaan gaya hidup dan canggih dengan kabin kokpit digital yang menggunakan Sistem Operasi (OS) Lotus Hyper.
Sistem itu menggunakan teknologi Unreal Engine dari industri permainan dan kuasa pemprosesan pula terdiri daripada dua System-On-Chip (SoC) Qualcomm 8155.
Digital Head Unit Eletre dari syarikat yang mungkin biasa didengari pengguna PROTON iaitu ECARX.
Eletre standard dijual daripada GBP£89,500 (RM488,772.27) dengan kelengkapan asas seperti gril depan aktif, suspensi udara aktif, torque vectoring dan lima mod pemanduan.
Turut dilengkapi roda 22 inci atau pilihan 20 inci dan 23 inci dengan lima corak roda dan enam warna angkup brek.
Eletre S yang merupakan model pertengahan dijual daripada 104,500GBP (RM570,608.38).
Varian itu dilengkapi cermin privasi, spoiler belakang aktif, lampu suasana boleh laras, pelapik ambang pintu bercahaya dan sistem kualiti udara.
Turut dilengkapi penutupan pintu perlahan, cermin sisi gelap automatik dan 23 pembesar suara KEF Reference Audio 2,160 watt.
Eletre R pula ditugaskan sebagai varian andalan dengan pecutan 0-100 kilometer sejam (km/j) dalam masa 2.95 saat dan kelajuan maksimum 265 km/j.
Sebagai perbandingan, pecutan 0-100 km/ Eletre dan Eletre S memerlukan 4.5 saat dengan kelajuan maksimum 258 km/j.
Walaupun lebih laju, Eletre R mempunyai jarak gerak lebih pendek berbanding dua lagi model Eletre.
Bagaimana pula dengan harga? Pasti lebih tinggi dan bermula daripada 120,000GBP (RM655,097.52)
Sumber: Careta.my