Liverpool sedia bayar RM222 juta untuk khidmat Ismaila Sarr
LIVERPOOL dilaporkan bersedia memenuhi tuntutan harga yang diletakkan Watford iaitu sebanyak 40 juta pound (RM222 juta) bagi mendapat khidmat Ismaila Sarr.
Pemain berusia 22 tahun itu berada dalam radar Reds, sejak dia meledakkan dua gol dalam perlawanan yang menyaksikan Hornets membenam Liverpool 3-0, Februari lalu.
Liverpool memerlukan pemain sokongan buat tiga tonggak depan mereka, dan Sarr memenuhi kriteria tersebut kerana dia berkebolehan beraksi sama ada di bahagian sayap ataupun penyerang tengah.
Namun, Watford telah menyatakan dengan jelas bahawa mereka mahukan 40 juta pound untuk khidmat pemain antarabangsa Senegal itu, yang menjaringkan enam gol buat kelab tersebut musim lepas.
Menurut The Sun, Liverpool bersedia bagi memenuhi tuntutan tersebut.
Akhbar itu melaporkan, Sarr yang memiliki bakat serba boleh di bahagian serangan, telah menyebabkan Reds menjadikan dia sebagai sasaran utama berbanding pemain sayap Wolves, Adama Traore.
Selain itu, dipercayai Sarr sememangnya menantikan peluang beraksi dalam skuad bintang Liverpool, manakala Traore pula berminat untuk mendapatkan lebih masa bermain.
The Sun turut mendakwa keputusan membawa masuk Sarr turut mendorong Reds menimbangkan keputusan untuk menjual Rhian Brewster berbanding meminjamkan pemain itu ke kelab lain.
Brewster gagal menyempurnakan sepakan penalti untuk Liverpool sewaktu tewas kepada Arsenal menerusi penentuan sepakan penalti dalam perlawanan Piala Perisai Komuniti di Wembley, semalam.
Bagaimanapun, selepas perlawanan, bos, Jurgen Klopp mempertahankan pemain berusia 20 tahun itu, apabila menganggap anak muda tersebut sebagai ‘penyerang yang sebenar’.
Newcastle dilaporkan ada membuat permohonan kepada Liverpool untuk menandatangani penyerang itu secara pinjaman, manakala Sheffield United dan Crystal Palace turut berminat dengan pemain tersebut.
Dalam pada itu, Sarr, baru-baru ini menyatakan rasa kagumnya terhadap Reds dalam satu temu bual bersama akhbar di tanah airnya Les Echos apabila memberitahu: “Liverpool sebuah pasukan yang hebat, semua orang berminat untuk bermain di sana.
“Mereka memenangi Liga Perdana Inggeris tahun ini dan Liga Juara-Juara pada tahun lalu. Mereka juga sebuah pasukan yang hebat dalam liga di England.
“Jujurnya, saya masih belum membuat sebarang keputusan. Jika ia berlaku, saya berharap pasukan yang berminat dengan saya biarlah sebuah kelab yang bagus. Pada ketika ini, hanya khabar angin yang tersebar.”
Bintang Liverpool, Sadio Mane sebelum ini pernah membuat kenyataan bahawa rakan senegaranya, Sarr sudah dianggap seperti adiknya sendiri. – Mirror UK – SM