Nasional

Guna teknologi untuk tujuan betul – Raja Muda Perlis

Kecanggihan teknologi pada hari ini telah mempercepatkan proses penyampaian maklumat. Bagaimanapun, sekiranya teknologi ini disalahgunakan, ia boleh menganggu gugat perpaduan negara. Oleh itu, adalah diingatkan agar rakyat sentiasa menggunakan kelebihan teknologi dengan cara yang betul dan ke arah kebaikan.

Pada masa yang sama janganlah terlalu taksub pada sesuatu pendapat hingga sanggup melakukan perbuatan yang boleh menggugatkan perpaduan dan kesejahteraan rakyat.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menghadiri ‘Program Hijrah Minda MAIPs Bilangan ke 15 bagi tahun 2020’ yang diadakan di Masjid Kg Alor Ara, Arau.

Keberangkatan tiba baginda diiringi anakanda Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.


Seramai 10 orang asnaf terpilih dari kalangan anak-anak kariah masjid berkenaan menerima sumbangan agihan zakat MAIPs daripada baginda.

Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs turut mengajak seluruh peringkat masyarakat tanpa mengira usia, jantina dan bangsa di negeri ini supaya bersama-sama melipatgandakan usaha untuk memainkan peranan pro-aktif masing-masing sebagai penyatu dan bukannya sekali-sekali sebagai pemecah perpaduan dalam apa keadaan sekalipun.

Pada kesempatan yang sama Tuanku Raja Muda bersama-sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil menitahkan ucapan Selamat Menyambut Hari Kebangsaan yang ke 63 kepada semua.

(Visited 26 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button