LiSA dilancar di Hutan Lipur Bukit Ayer, Perlis
HUTAN Lipur Bukit Ayer di Sungai Batu Pahat menjadi pusat rekreasi pertama bagi pelancaran LiSA (Life – Saving Applianse) di Perlis.
LiSA adalah sebuah peti yang mengandungi peralatan asas pertolongan cemas untuk digunakan oleh orang awam jika berlaku kejadian lemas di kawasan rekreasi berkenaan.
Ia adalah produk inovasi yang dihasilkan oleh pegawai Bomba yang sebelum ini diperluas pemasanganya di 32 tempat di seluruh negara sejak tahun 2019 hingga Mei 2022.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Azizan Sulaiman telah merasmikan LiSA anjuran Majlis Keselamatan Aktiviti Air Negara (MKAA) dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis.
Pelancaran ini juga disaksikan Pengarah JBPM Perlis, Ruhisha Haris dan Timbalannya, M. Fatta M. Amin.
“Pastikan LiSA tidak menjadi mangsa vandalisme kerana kita tidak pasti bila masa memerlukannya,” kata Azizan pada sidang media.
Beliau berkata, pengunjung di pusat rekreasi diminta memberikan kerjasama dan bertindak menegur atau melapor jika ada yang cuba merosakkannya.
Difahamkan sebuah peti LiSA ini berharga RM4,000.
Pada majlis berkenaan Azizan juga turut memyampaikan geran sebanyak RM3,000 kepada Pasukan Bomba Sukarela (PBS).
Sementara itu Ruhisha berkata, setakat ini dari laporan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sebanyak 54 lokasi di Perlis dikenal pasti berisiko berlaku banjir.
Sehubungan itu katanya, pihaknya telah bersiap sedia bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka mulai Oktober ini hingga penghujung Mac 2023.
Katanya, JBPM Perlis telah menjalani latihan dan persiapan serta bersedia dari segi logistik dan kelengkapan tambahan.
Tambahnya, sehingga kini 200 anggotanya telah bersiap sedia dan cuti hanya dibekukan jika keadaan mendesak. – SM