Lima program pengajian yang ditawarkan Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) telah mendapat Akreditasi Penuh dan Sementara pada tahun ini.
Akreditasi Sementara (Jun 2022) bagi pengajian Doktor Falsafah Bahasa Al Quran dan Al Sunnah serta Sarjana Pengajian Islam.
Manakala Akreditasi Penuh pula diperoleh oleh KUIPs untuk pengajian Diploma Bahasa Arab, Ijazah Perakaunan (Kepujian) dan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Muamalat Dengan Kepujian (Pengurusan Harta).
Rektornya, Prof. Madya Dr. Muhamad Rozaimi Ramle juga menjelaskan, dari Januari hingga Ogos lalu, KUIPs memberikan fokus kepada persiapan pendaftaran penubuhan Universiti Islam Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ).
Katanya, Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Eksekutif KUIPs telah mewujudkan ‘Taskforce Pelaksanaan Syarat-Syarat Kelulusan Pendaftaran’.
Perkara ini disembah maklum kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail pada majlis mengadap bagi membentangkan ‘Laporan Gerak Kerja Semasa Pengurusan KUIPs ; Januari-Ogos 2022’ yang diadakan di Bilik Mesyuarat Galeri DiRaja Arau baru-baru ini.
Turut diperbincangkan bersama Raja Muda yang juga merangkap Tuanku Canselor KUIPs ialah cadangan penstrukturan Yayasan KUIPs.
Hadir sama ialah Timbalan Rektor Akademik dan Antarabangsa Prof. Madya Dr. Abdul Basir Awang @ Mohd Ramli, Penolong Rektor Pembangunan Korporat dan Jaringan Industri
Badrul Hisham Abd Rahman, dan Penolong Pendaftar Pejabat Rektor Muhammad Syazuwan Ahmad.
Muhamad Rozaimi juga berkongsi bahawa beliau amat bersyukur kerana melalui jaringan kerjasama individu dan pihak koporat, KUIPs telah berjaya untuk menjana kewangan tambahan.
Beliau berkata, sebanyak RM550,000 sepanjang Februari sehingga Julai 2022 yang lalu melalui perincian sumbangan zakat (RM240,000), wakaf (RM210,000) dan infaq (RM100,000).
Selain itu, katanya, KUIPs yang memegang slogan “Syumul, Taqwa, Dinamik” “Di Sini Pencinta Sunnah Dilahirkan” juga menerima sumbangan ‘Infaq Ramadan’ dan ‘Infaq Bagi Dialog Ilmiah’.
Juga katanya, penglibatan dalam Program Ihsan Baling KUIPs bersama NGO Glokal Ihsan’, serta inisiatif ‘Tajaan Kursi Pendidikan Ain Medicare’.
Tambahnya, antara ‘Teras’ dan ‘Tujahan’ utama Aspirasi Rektor KUIPs bagi tahun ini adalah Keterlihatannya atau ‘Visibility’, Penjajaran Pengurusan, Kesegeraan Dalam Tadbir Urus Sumber Manusia, Pengurusan dan Penjanaan Kewangan Yang Efisyen, Kecemerlangan Akademik dan Mahasiswa Holistik. – SM