Lima pemain dibuang padang termasuk Neymar
Bintang PSG dakwa dia jadi mangsa perkauman
NEYMAR antara lima pemain dibuang padang selepas bintang Paris Saint-Germain (PSG) itu menumbuk pemain Marseille, Alvaro Gonzalez di belakang kepalanya sebelum menuduh pemain Sepanyol itu bersikap perkauman.
Pemain Brazil tersebut mendakwa bek tengah itu memanggilnya “monkey son of a b****” selepas pergaduhan tercetus pada hujung aksi yang menyaksikan Marseille mengejutkan PSG 1-0 di Paris.
Namun, selepas perlawanan, Gonzalez dengan pantas menggunakan platform media sosial bagi membersihkan namanya dengan mesej anti-perkauman.
Florian Thauvin menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-31 dalam aksi yang berlangsung tegang menentang finalis Liga Juara-Juara, musim lepas itu.
Bagaimanapun, pertemuan tersebut dicemari dengan insiden Neymar, 28, antara lima pemain yang diperintah keluar padang dan turut menyaksikan 15 kad dilayangkan pengadil.
Bekas pemain sayap Manchester United, Angel Di Maria turut dirakam gambarnya meludah ke arah Alvaro.
Neymar, kemudiannya menuduh bek tengah tersebut bersikap perkauman sewaktu dia berjalan keluar padang.
Neymar dilihat menuding jari ke arah pemain Sepanyol itu dan kelihatan menjerit: “Perkauman?”
Selepas perlawanan, bintang PSG itu berkata di Twitter: “Satu-satunya perkara yang saya sesali ialah tidak menampar ‘lelaki tak guna’ itu diwajahnya.”
Dalam kicauan menerusi media sosial tersebut, Neymar menjelaskan: VAR mudah merakamkan sikap agresif saya.
“Sekarang saya mahu melihat imej lelaki perkauman itu memanggil saya “MONO H*** DE P***” (monkey son of a b****) pula!
“Ada sudah jadi? Anda menghukum saya. Saya dibuang padang. Bagaimana dengannya? Apa sudah jadi?”
Namun, Gonzalez membalas kembali tuduhan Neymar di Twitter. Bintang Marseille tersebut memuat naik gambarnya bersama satu-satunya rakan sepasukan berkulit hitam.
Di dalam kapsyen di bawah gambar tersebut, Gonzalez menyatakan: “Tiada tempat untuk perkauman. Ramai rakan sepasukan dan sahabat saya terdiri pelbagai kaum.
“Kadang kala anda perlu belajar terima kekalahan dan terima apa yang berlaku di atas padang. Tiga mata yang mengagumkan, hari ini. Terima kasih keluarga.”
Neymar kemudian telah membalas kembali kenyataan itu dengan berkata, Gonzalez bukan anak jantan dan bersikap perkauman.
“Anda bukan anak jantan, tidak mengakui kesilapan sendiri, kekalahan itu memang sebahagian daripada sukan.
“Sekarang baru nak cakap soal penghinaan dan perkauman, saya tidak setuju. Saya tidak hormat anda! Anda tiada perwatakan! Jadi anak jantan. Perkauman,” kata Neymar. – The Sun UK – SM