Politik

LGBT: Buaya atas nama tokoh liberal, media, NGO makan umpan

PRESIDEN Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak menyangka tulisannya berkaitan kedudukan Islam dalam Perlembagaan menjadi pancing yang dimakan umpannya oleh ‘sang buaya’.

Menurut Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah itu, buaya tersebut muncul atas nama tokoh-tokoh liberal, media dan NGO.

“Maka buaya yang ganas akhirnya dapat ditangkap walaupun bijak berselindung di bawah permukaan air yang paling tenang yang disangka tiada buaya.

“Buaya itu muncul atas nama tokoh-tokoh liberal, media dan NGO sehingga mengocak ketenangan hakim dan mahkamah.

“Bukan mudah untuk mendedahkan kebenaran tentang seseorang penyokong dan pembela makhluk di luar tabii, kerana ia adalah suatu sifat yang sangat memalukan,” katanya.

Abdul Hadi menegaskan binatang pun tidak melakukan perbuatan tersebut.

Bahkan sebahagian dalam kalangan bukan Islam juga tidak mahu menjadi peminat kepada golongan terkutuk itu kerana semua agama yang mempunyai kitab menentang amalan luar tabii.

“Namun, kini perkara terebut sudah menjadi kebiasaan, termasuklah Malaysia hari ini, kerana kita berada di dunia yang sudah terlalu melampau dalam menuntut kebebasan.

“Sehingga kebebasan yang berada di luar tabii juga dituntut, laksana pemandu kereta di jalan yang sibuk. Atas nama kebebasan, ada pemandu yang memacu dengan melampaui tahap kelajuan. Bahkan mereka bersedia melanggar lampu isyarat dan bersedia menempah kemalangan yang membunuh diri mereka sendiri,” katanya.

Pada 4 Mac lalu, Abdul Hadi menulis artikel bertajuk Merdekakan Perlembagaan. Dalam artikel yang dikongsi di media sosialnya, beliau mendakwa terdapat dalam kalangan para hakim yang baru, hilang sensitiviti agama.

Menurut Abdul Hadi, penjajah British sendiri pada zaman penjajahan sangat berhati-hati agar tidak menyentuh sebarang sensitiviti penganut Islam, sehingga mereka meletakkan kuasa Islam kepada raja-raja.

“Malangnya ada dalam kalangan Melayu-Islam yang tiada dalam hatinya kepekaan terhadap Islam, walaupun telah mendapat kemerdekaan lebih setengah abad.

“Malangnya lagi, terdapat juga kalangan mereka yang menonjolkan diri berwajah Inggeris lebih daripada bangsa Inggeris sendiri.

“Apabila berlakunya keputusan mahkamah yang berani mencabar terhadap Enakmen Jenayah Syariah Selangor, menjadikannya laksana batu besar yang dihempas ke dalam lubuk yang tenang.

“Disangka tiada lagi saki-baki buaya belaan penjajah British di dalamnya, namun tiba-tiba buaya itu mendongakkan kepalanya,” kata Abdul Hadi.-SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button