Nasional

Lesenkan platform media sosial bantu tangani jenayah penipuan atas talian

LANGKAH Suruhan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) melesenkan platform media sosial sejak 1 Januari lalu merupakan langkah terbaik bagi menangani dan membendung jenayah penipuan atas talian yang berleluasa di platform berkenaan.

Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung yang menyokong langkah itu berkata, dengan melesenkan platform terbabit ia adalah ke arah akauntabiliti yang lebih baik.
Katanya, penguatkuasaan berhubung lesen itu adalah perkara yang dekat di hati beliau kerana dirinya telah membantu ramai mangsa penipuan dan hal itu adalah masalah yang sangat meluas serta perlu ditangani segera.
Menurut beliau,  jumlah kerugian akibat aktiviti penipuan dan scam di media sosial cukup besar dengan mangsa menjadi trauma bertahun-tahun selepas ditipu.

“Secara ringkas, kita memerlukan platform untuk mengambil lebih banyak akauntabiliti dan tanggungjawab bagi meningkatkan keselamatan dalam dunia digital.

“Adalah sesuatu yang baik untuk melihat penyertaan daripada WeChat, Telegram, TikTok dan Meta dalam inisiatif ini.

“Saya juga menggesa (syarikat) Google untuk turut terlibat dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia agar mereka juga boleh mengambil bahagian dalam proses tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Chean Chung yang juga Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR) turut menzahirkan rasa optimis untuk melihat perkembangan yang lebih positif dalam dasar terbaharu daripada Kerajaan MADANI itu.
Meskipun tidak semua pihak mungkin menyertainya, namun katanya kemajuan yang dicapai setakat ini adalah sesuatu memberangsangkan.
“Kerjasama dengan pihak berkepentingan pada masa hadapan adalah penting untuk mencapai objektif yang lebih luas bagi ekosistem digital yang selamat dan bertanggungjawab.

“Saya juga mengambil maklum tentang usaha Kementerian Komunikasi dan SKMM untuk memelihara kebebasan bersuara, di samping memperluaskan peraturan dan akauntabiliti,” katanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button