Nasional

Lepas ikan asing: Jabatan Perikanan bertemu penganjur program

Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) mengambil maklum berkenaan hantaran Facebook dimuat naik oleh Jorankl bertarikh 26 Jun 2024 (Rabu), menunjukkan terdapat pihak telah melepaskan ikan patin Chao Praya (Pangasius
sanitwongsei) ke Tasik Biru, Kundang, Rawang Selangor.

Tindakan proaktif telah diambil oleh Jabatan Perikanan Negeri Selangor dengan mengadakan pertemuan  bersama pihak pengurus dan penganjur program.

Penganjur memaklumkan ikan-ikan tersebut dilepaskan bagi program Pertandingan Memancing Parlimen Selayang @ Tasik Biru yang akan diadakan pada 29 Jun 2024.

Penganjur mengakui kekhilafan dan berjanji akan membuat tindakan pembaikan dengan menyalurkan maklumat berkaitan larangan pelepasan ikan asing kepada pengunjung program dan memberi peringatan kepada peserta memancing untuk tidak melepaskan semula hasil tangkapan ikan asing ke dalam tasik/sumber air samada semasa atau selepas program.

Jaminan juga diberi oleh penganjur untuk memasang jaring pada laluan air keluar dari tasik bagi mengelakkan ikan asing terlepas ke perairan umum dan akan bekerjasama dengan DOF serta agensi lain bagi program-program mengeluarkan spesis ikan asing daripada tasik.

DOF juga ingin mengingatkan orang awam atau mana-mana pihak untuk tidak melepaskan anak-anak ikan atau ikan-ikan yang tergolong dalam ketegori ikan pemangsa (invasif) dan juga dikenali sebagai “alien spesies” sewenang-wenangnya ke perairan umum, sungai atau tasik

“Orang awam atau mana-mana individu diminta berhubung dengan Pejabat Perikanan Negeri/Daerah bagi mendapatkan khidmat nasihat berkenaan pelepasan ikan.

“DOF juga akan membuat hebahan yang lebih menyeluruh kepada agensi lain serta pihak Berkuasa
Tempatan (PBT) bagi mengelakkan isu sebegini terjadi berulang kali,” kata Pengarah
Perikanan Negeri Selangor, Noraisyah Abu Bakar. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button