Lenggeng jadi duri dalam daging
PADA KETIKA INI orang politik sedang berkerumunan sekeliling presiden parti mahu meninjau dan mencerahkan peluang untuk dipilih menjadi calon pada pilihan raya di enam buah negeri.
Pastinya parti-parti seperti UMNO paling kecoh kerana mereka yakin pada kali ini akan memperolehi peluang terbaik untuk menang besar selepas bekerjasama dengan DAP yang akan membawa sokongan pengundi Cina melimpah ruah kepada UMNO.
Setelah bertungkus-lumus mensucikan DAP, mereka mengharapkan atau menjangkakan nawaitu untuk memenangi hati orang Cina atau lebih tepat penyokong DAP telah tercapai.
Pada masa yang sama para pemimpin UMNO juga dianggap wira kerana menyelamatkan parti itu daripada diharamkan kerana membawa keluar daripada gabungan Perikatan Nasional (PN) dan menyertai Kerajaan Perpaduan berpaksi pemimpin agung Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar yang dipecat daripada UMNO pada tahun 1998 dan merengkok di dalam penjara selama 11 tahun kerana didapati bersalah atas tuduhan salah guna kuasa dan meliwat kini menjadi pemimpin nombor satu negara mendapat pengampunan Yang di-Pertuan Agong.
Parti DAP yang ketika berkuasa 22 bulan begitu agresif, kini agak lunak walaupun pemimpinnya seperti Thony Pua dan Lim Guan Eng masih belum mampu menghayati watak berkenaan, kini lebih bertoleransi sejak dipimpin oleh Anthony Loke.
Tidak langsung kedengaran suara pemimpin DAP yang menyinggung masyarakat Melayu, ibarat pijak semut tidak mati.
Namun parti serpihan Pas yang ditaja oleh DAP iaitu Amanah kini agak tertekan kerana mereka terpaksa bertolak ansur dengan UMNO yang mahukan kerusi yang dimenangi pada pilihan raya lalu.
UMNO dengan egonya tetap mahu menjadi abang besar walaupun mereka hanya parti picisan di dalam gabungan. UMNO juga sepatutnya keluar dari Barisan Nasional (BN) dan menyertai Pakatan Harapan (PH) mungkin sedang mempertimbangkan langkah itu kerana dua komponen BN iaitu MCA dan MIC dikatakan enggan melibatkan diri pada pilihan raya negeri kali ini.
UMNO yang lebih DAP daripada DAP kini terpaksa berdepan dengan Amanah seperti di Negeri Sembilan yang tetap mahu kekal bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng pada Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan.
Pengerusinya Datuk MK Ibrahim Abd Rahman berkata kerusi DUN Lenggeng yang telah dimenangi parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) harus dipertahankan bagi memastikan wujudnya keseimbangan dan keadilan dalam perwakilan rakyat di negeri ini.
Beliau berkata Mesyuarat Jawatankuasa Pimpinan Nasional parti itu pada 13 Julai lepas juga telah mengumumkan calon untuk semua kerusi yang akan ditandingi Amanah termasuk di DUN Lenggeng.
“Selagi belum diputuskan oleh Majlis Presiden (Majlis Presiden Pakatan Harapan), kita akan usaha sehabis baik untuk kekalkan kerusi berkenaan. Saya setiap hari berhubung dengan Presiden Amanah (Datuk Seri Mohamad Sabu) dan pimpinan atas memang senada dengan pendirian kita (pertahan DUN Lenggeng),” katanya pada sidang media di sini semalam.
Justeru, beliau berharap Majlis Presiden Pakatan Harapan akan mempertimbangkan perkara tersebut sekali gus bersama-sama dengan keputusan yang dibuat oleh Amanah negeri.
Baru-baru ini, Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata Barisan Nasional (BN) akan bertanding 17 kerusi DUN di negeri ini termasuk kerusi Lenggeng yang disandang oleh Amanah, namun MK Ibrahim terlebih dahulu mengumumkan parti itu kekal bertanding di DUN Lenggeng, Paroi dan Klawang.
Pada PRU14, Pakatan Harapan menguasai 20 kerusi iaitu DAP dengan 11 kerusi, PKR (enam) dan Amanah (tiga), manakala BN pula memenangi 16 kerusi iaitu UMNO (15) dan MIC satu kerusi daripada keseluruhan 36 kawasan DUN di negeri itu.
Kini terpulang kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang merupakan penyelamat UMNO yang hebat untuk berunding dengan pemimpin agung kerana Tok Mat hanyalah seorang timbalan presiden dan tidak boleh memutuskan sesuatu melangkaui kepala pemimpin utama parti berkenaan.
Jadi kerusi Lenggeng ini akan menjadi duri dalam daging bukan sahaja bagi UMNO Negeri Sembilan bahkan bagi kem Zahid dan kem Tok Mat.
Jika keputusannya tidak menyebelahi UMNO akan menyebabkan berlaku pergeseran dalaman antara dua fraksi tersebut.