Lelaki maut jatuh daripada tingkat 4 rumah kekasih
SEORANG lelaki maut selepas terjatuh daripada tingkat 4 Pangsapuri Jasin Bestari, Bemban, dekat sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 11.47 pagi ini, lelaki berusia 46 tahun dipercayai cuba melarikan diri daripada rumah bekas kekasihnya menggunakan dawai ampaian yang diikat di bahagian palang besi koridor rumah pangsapuri berkenaan.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Supretendan Mispani Hamdan berkata, mangsa cuba turun melalui koridor dengan berpaut pada dawai tetapi dia terus terjatuh dalam keadaan tertiarap dan tidak sedarkan diri.
Menurutnya, saksi iaitu bekas kekasihnya berusia 37 tahun ketika kejadian berada di ruang tamu,
terdengar bunyi yang kuat di bahagian luar koridor rumah pangsapuri itu.
“Apabila melihat ke bawah, dia ternampak lelaki yang juga seorang duda itu telah tertiarap di atas
tanah dan tidak bergerak.
“Hasil pemeriksaan fizikal ke atas mangsa mendapati terdapat kesan tanah dan darah di bahagian muka dipercayai jatuh akibat terhempap dengan lengan kirinya juga patah,” ujarnya di sini hari ini.
Mengulas lanjut Mispani berkata, insiden itu terjadi sewaktu mangsa datang ke rumah kekasihnya dan bermalam di Pangsapuri Jasin Bestari kira-kira pukul 12.00 tengah malam sewaktu suaminya tiada
di rumah.
Jelasnya, mangsa bermalam di rumah tersebut bersama anak kekasihnya seramai tiga orang.
“Kira-kira pukul 10.30 pagi sewaktu mangsa dan kekasihnya berada di ruang tamu rumah pangsa itu tiba-tiba suami wanita itu balik dan terkejut melihat orang lain berada di rumahnya,” katanya lagi.
Susulan daripada itu ujarnya, suami wanita tersebut terus mengunci jeriji rumahnya menyebabkan mangsa tidak dapat keluar dari situ.
Katanya, sewaktu suami wanita itu cuba menghubungi polis, mangsa cuba melarikan diri menggunakan dawai ampaian hingga menyebabkannya jatuh dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Jelasnya, mereka sudah berkenalan sejak 2005 dan tiada jodoh untuk mendirikan rumah tangga. Sejak mangsa bercerai pada 2017, dia menjalin kembali hubungan dengan bekas kekasihnya yang sudah berkahwin secara senyap-senyap tanpa pengetahuan suaminya.
Beliau berkata, mayat mangsa telah di hantar ke bahagian Forensik Hospital Jasin untuk bedah siasat.