Nasional

Lelaki Jordan Cuba Buka Pintu Pesawat Dalam Penerbangan KL-Sydney – Ditahan

SEORANG lelaki warga Jordan ditahan pihak berkuasa Australia selepas didakwa cuba membuka pintu kecemasan semasa penerbangan dari Kuala Lumpur ke Sydney pada Sabtu lalu.

Suspek, dikenali sebagai Shadi Taisser Ayed Alsaaydeh, 46, merupakan pegawai kerajaan Jordan yang dilaporkan dalam perjalanan rasmi ke Sydney bagi menghadiri mesyuarat dengan pegawai kerajaan Australia.

Insiden berlaku ketika penerbangan AirAsia X berada di udara apabila Alsaaydeh dikatakan cuba membuka pintu kecemasan di bahagian belakang pesawat. Kru kabin yang menyedari tindakan mencurigakan itu segera bertindak dengan memindahkannya ke tempat duduk lain di bahagian tengah pesawat.

Namun, lebih mengejutkan apabila beliau sekali lagi cuba membuka pintu kecemasan di kawasan baharu tersebut. Ketika beberapa kru dan penumpang cuba menghalangnya, suspek bertindak agresif dengan menyerang salah seorang kru kabin dan mencekiknya.

Setibanya pesawat di Lapangan Terbang Sydney pada jam 8.30 malam, anggota Polis Persekutuan Australia (AFP) segera menahan suspek. Beliau telah didakwa dengan dua pertuduhan membahayakan keselamatan penerbangan dan satu pertuduhan menyerang kru pesawat – kesemua pertuduhan membawa hukuman maksimum 10 tahun penjara.

Menurut pihak pembelaan di mahkamah, Alsaaydeh dipercayai berada dalam keadaan tidak sedar akibat pengambilan ubat selesema (pseudoephedrine), pil tidur dan alkohol sebelum menaiki pesawat. Namun begitu, mahkamah menolak permohonan jaminan dan menetapkan 9 April sebagai tarikh sebutan semula kes.

AirAsia X dalam kenyataan media memuji tindakan pantas dan profesional kru kabin yang berjaya mengawal keadaan serta memastikan keselamatan semua penumpang.

Polis Persekutuan Australia menegaskan bahawa sebarang tindakan yang membahayakan keselamatan penerbangan tidak akan dikompromi dan mereka akan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang melanggari undang-undang penerbangan.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button