JenayahNasional

Lelaki diperas ugut wanita selepas panggilan video bogel dirakam

MANGSA ialah seorang lelaki. Yang peras ugut mangsa ialah seorang wanita. Itulah yang terjadi apabila kedua-dua individu ini memulakan perbualan biasa-biasa sahaja sehingglah sampai ke kemuncak membuka pakaian.

Wanita terbabit memperdayakan lelaki berkenaan dengan memintanya turut membuka pakaian melalui panggilan video.

Suspek menghubungi mangsa keesokan harinya dan meminta “wang saku” sekiranya tidak mahu rakaman panggilan video bogel itu disebarkan.

Bimbang video dirinya tersebar, lelaki berkenaan terpaksa bersetuju memenuhi permintaan suspek. Bagaimanapun wanita terbabit terus memeras ugut lebih banyak wang daripada mangsa.

Walaupun kes itu dilihat sebagai kes terpencil namun ia bukanlah sesuatu yang luar biasa.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, di Johor sahaja terdapat 367 individu berumur 20 hingga 40 tahun telah membuat laporan polis sejak Januari lalu selepas menjadi mangsa skim peras ugut melalui mesej intim sedemikian.

Beliau berkata, kes-kes ini melibatkan kerugian antara RM500,000 hingga RM1 juta dan beliau percaya masih ada lagi mangsa yang belum membuat laporan polis.

“Mereka yang tampil tidak dapat berdepan dengan situasi selepas penjenayah itu berulang kali memeras ugut walaupun mangsa pada awal menuruti permintaan memberikan wang,” katanya.

Beliau berkata, mangsa tidak perlu berasa malu untuk membuat laporan polis kerana siasatan yang dijalankan adalah sulit.

Setakat ini, katanya, polis telah berjaya menumpaskan sekurang-kurangnya satu sindiket selepas menahan empat individu di Pulau Pinang, Selangor dan Johor.

Kamarul berkata, sindiket itu akan menggunakan seorang wanita cantik untuk berbual panjang dengan mangsa sebelum menukar topik perbualan berkaitan seks.

“Seorang lagi rakan yang bersubahat akan bersembunyi di belakang kamera untuk merakam video mangsa tanpa berpakaian” katanya.

Kamarul juga berkata, keadaan yang menjadikan mangsa mudah sebagai sasaran adalah penggunaan aplikasi sembang seperti Wechat dan Michat yang sering digunakan oleh mereka yang berbual intim secara maya dengan menghantar mesej lucah, foto atau video melalui telefon bimbit, komputer atau mana-mana peranti digital. – FMT – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button