Lelaki 41 tahun warga Malaysia pertama dijangkiti coronavirus
SEORANG lelaki berusia 41 tahun menjadi rakyat Malaysia pertama disahkan dijangkini coronavirus (2019-nCoV).
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, mangsa telah menghadiri mesyuarat bersama beberapa delegasi antarabangsa termasuk China di negara jiran pada 16 hingga 23 Januari lalu.
“Lelaki berusia 41 tahun tersebut kini sedang menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh,” kata Dzulkefly.
“Beliau pulang ke negara pada 23 Januari lalu, dan pada 29 Januari lalu, telah mendapatkan rawatan di sebuah pusat rawatan swasta kerana demam dan batuk.
“Beliau kemudiannya dirujuk ke Hospital Sungai Buloh pada 2 Februari, dan ujian makmal mendapati beliau positif Novel Coronavirus semalam.
“Pihak kementerian kini sedang melakukan ‘contact tracing’ individu yang pernah berhubung dengan pesakit tersebut bagi tujuan pengawasan rapat,” kata Dzulkefly.
Keluarga terdekat mangsa kini diletakkan dalam ‘home surveillance’ selama 14 hari.
Selain lelaki yang berasal dari Selangor tersebut Dzulkefly turut mengesahkan satu lagi kes baharu positif di Malaysia, menjadikannya 10 kes setakat ini.-SM