Legenda urban Sarawak ‘hantu Janet’ difilemkan
KISAH seorang gadis bernama Janet menjadi kisah legenda urban di Sarawak sekitar tahun 60-an dan 70-an. Gadis tersebut ditimpa tragedi pada akhir hidupnya akibat dianiayai oleh insan yang dicintai olehnya.
Cerita Janet tidak berakhir apabila dia meninggal dunia sebaliknya menjadi permulaan ketakutan kepada insan yang menganiayai beliau, apabila Janet muncul semula sebagai hantu yang membalas dendam.
Diadaptasi daripada kisah legenda itu, sebuah produksi dari Sarawak, Kaya Kenyalang Sdn. Bhd. akan menebitkan filem bertajuk ‘Janet-Sumpah Terlarang’.
Filem terbitan anak Sarawak, Sufri Yusop Shamsudin itu menampilkan pelakon dari Sarawak, antaranya Safar Ghafar, Bulan Terry dan Natasya Charmine. Turut berlakon adalah Ropie Pak Kodi, Ifa Radziah, Aliff Hadi dan Esma Damiel.
Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli Ali Biju turut menyokong penerbitan filem yang melibatkan 26 orang krew itu.
Beliau berkesempatan melawat set penggambaran yang terletak di Janda Baik, Pahang. Set itu dipilih berikutan kekangan pengambaran di Sarawak akibat Covid-19.
Dalam lawatan ini, Ali Biju yang juga anak jati Sarawak, berpeluang menyaksikan pembikinan filem, dan berpuas hati, terhadap SOP pengambaran yang dipraktikkan oleh produksi filem tersebut.
Ali Biju yang diiringi Pengerusi Finas, Zakaria Abdul Hamid turut menyarankan produksi tempatan, supaya menerbitkan lebih banyak filem mengenai kisah legenda, terutamanya dari Sarawak.
‘Janet-Sumpah Terlarang’ hasil karya Nazri M. Annuar dan diarahkan oleh Mohd. Azhar Mohd. Khalid dijadual ditayangkan di lebih 80 buah pawagam di seluruh negara.-SM