WEBINAR-webinar yang dianjurkan oleh Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) telah mendapat lebih 71,000 ‘views’ yang bermula pada September 2021 sehingga September 2023.
YTF merupakan sebuah badan yayasan yang memfokuskan kepada pembangunan kepimpinan wanita.
Program dan projek yang telah dilaksanakan bertujuan memberi kesedaran tentang peranan wanita untuk mengangkat martabat wanita dalam segala aspek dan bidang.
Webinar YTF bertemakan “Women In Search of Excellence” merupakan satu inisiatif yang diadakan pada setiap bulan secara atas talian sepenuhnya, untuk membuka ruang dan platform dalam mengangkat kebolehan wanita dalam pelbagai bidang dan sektor.
Sebanyak 24 webinar telah dianjurkan secara bergilir-gilir dengan kekerapan sebulan sekali bermula September 2021 sehingga September 2023 oleh pelbagai institusi, IPT, Jabatan dan Agensi Kerajaan serta NGO yang diadakan secara siaran langsung (live) atas talian sepenuhnya menggunakan platform yang bersesuaian seperti Google Meet, Zoom, Webex dan lain-lain, serta disiarkan secara langsung (live) di medium media sosial seperti Youtube dan Facebook.
Setiap siri webinar akan membawa konsep kupasan dan perbincangan dalam bidang yang berbeza bagi setiap siri seperti pendidikan, keusahawanan, pelancongan, kesihatan, kepimpinan dan lain-lain lagi.
Webinar yang dianjurkan menampilkan barisan panel dan tokoh wanita untuk memperlihatkan tentang ketokohan wanita itu sendiri bagi mengangkat wanita secara langsung terutama dalam aspek kepimpinan.
Demikian dibentangkan oleh Ketua Penyelaras Program Webinar YTF, Zaharin Haris di Mesyuarat Ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) yang diadakan di The Smoke House, The Majestic Hotel Kuala Lumpur yang dipengerusikan oleh Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil semalam.
Berangkat sama ialah Penasihat DiRaja YTF, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Sementara itu, Setiausaha Kehormat Yayasan, Datuk M. Rajasekaran memaklumkan bahawa Perancangan YTF pada tahun 2024 adalah untuk terus memperjuangkan hak-hak wanita, isu-isu semasa dan terus menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak, agensi dan kementerian bagi sama-sama mencari solusi yang terbaik bagi sebarang permasalahan yang berbangkit terutama dalam topik kecemerlangan wanita.
YTF akan menyambut ulangtahunnya yang ke 20 pada tahun hadapan dan beberapa perancangan awal sudahpun dirangka termasuklah menghasilkan sebuah buku mengenai Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid, Raja Perempuan Perlis yang juga merupakan Penaung DiRaja YTF, serta Majlis Makan Malam Penghargaan pada satu tarikh yang akan diumumkan kelak. – SM