Pendidikan

Lebih 2,000 pelajar lapor diri di UniMAP

Seramai 2,070 mahasiswa baharu melaporkan diri di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) untuk pengambilan awal Sidang Akademik 2024-2025. 1,101 daripada mereka adalah pelajar lelaki manakala 969 lagi adalah pelajar wanita.

Mereka menghadiri “Majlis Apresiasi Dan Kebudayaan sempena Majlis Suai Kenal Sarjana Muda Sidang Akademik 2024/2025” yang dirasmikan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Dewan Ilmu, Kampus Alam UniMAP Pauh Putra.

Keberangkatan Baginda selaku Canselor UniMAP bersana-sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil merangkap Pro Canselor disambut oleh Naib Camselor, Prof Datuk Dr Zaliman Sauli.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah, ‘Mahasiswa perlu memantapkan persiapan mental dalam mengharungi suasana baharu di universiti di mana mereka perlu berdikari kerana berjauhan dengan keluarga. Pembahagian masa belajar amat penting dan segala tugasan perlu disempurnakan pada masa yang ditetapkan. Manfaatkan segala kemudahan yang disediakan di UniMAP sebaiknya agar rutin harian di universiti berjalan dengan lancar’.

Tuanku Raja Muda menambah bahawa kesemua institusi pengajian tinggi termasuk UniMAP merupakan tempat di mana para mahasiswa boleh bersaing dengan sihat, tidak kira daripada segi pelajaran mahupun kokurikulum.

Di majlis tersebut pelbagai aktiviti dipersembahkan oleh mahasiswa dan mahasiswi baharu termasuklah persembahan silat diiringi iringan kompang dan jidor, Tarian Kabbadi, Fashion Show, Tarian Ayam Didik, wushu dan tarian Mai Pakat Mai.

Turut diadakan ialah Pentomen oleh Pegawai-pegawai dari Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) UniMAP yang memaklumkan tanggungjawab dan peranan mereka.

Tuanku Raja Muda dan Tuanku Raja Puan Muda juga berkenan menyempurnakan simbolik balingan Kapal Terbang Impian sebagai kemuncak majlis tersebut disertai oleh para pegawai utama dan Mahasiswa Baharu.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bersyukur kerana mereka semua telah memilih UniMAP dan berterima kasih kepada semua ibu bapa dan penjaga kerana merestui pilihan ini.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button