Lebih 14 jam bersihkan tumpahan sisa buangan kimia
Wartawan Suara Merdeka
ALOR GAJAH 25 Mei – Pasukan Hazmat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka mengambil masa lebih 14 jam membersihkan tumpahan sisa buangan kimia apabila sebuah treler membawa muatan itu terbalik dalam kemalangan di Kilometer 215.6 Lebuh Raya Utara-Selatan (Plus) arah Utara berhampiran Plaza Tol Simpang Ampat, awal pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 2.56 pagi itu, sebuah lori treler terbabas di bahu jalan hingga menyebabkan tumpahan
muatan bahan kimia SW104 jenis pepejal bahan buangan berjadual kuprum dan aluminium jenis debu berkuantiti
43.1 tan di tempat kejadian.
Komander Operasi Penguasa Bomba yang juga pakar Hazmat, Zulkhairani Ramli berkata, seramai 14 anggota
bomba telah dikejarkan ke tempat kejadian selepas menerima laporan mengenai kemalangan treler tersebut
kira-kira pukul 2.56 pagi.
Menurutnya, sejurus tiba di tempat kejadian terdapat sebuah lori treler terbalik ke kawasan semak di laluan kiri lebuh raya berkenaan mengakibatkan berlaku tumpahan sisa buangan kimia.
Beliau berkata, pemandu berusia 29 tahun dan kelindannya berumur 31 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan serius.
“Pasukan Hazmat turut berada di tempat kejadian membersihan tumpahan itu. Bahan kimia tersebut diangkut menggunakan sebanyak 39 beg jumbo sambil dipantau suhu bahan tersebut dan bacaan gas toksik,” ujarnya hari ini.
Mengulas lanjut Zulkhairani berkata, hujan menyebabkan operasi pembersihan itu tertangguh beberapa jam
sehingga segalanya selesai kira-kira hampir pukul 3.00 petang hari ini.
Jelasnya, sebelah lorong di lebuh raya berkenaan terpaksa ditutup sejak awal pagi tadi sehingga pukul 3.00 petang ini bagi melancarkan kerja-kerja pembersihan dan mengangkut bahan buangan itu.
“Cuaca hujan menyebabkan kita menangguhkan sementara operasi disebabkan bahan ini boleh bertindak balas
dengan air menjadi beracun dan memanas.
“Kita tutup bahan yang tumpah menggunakan kanvas kalis air untuk elak daripada kejadian tidak diingini
berlaku,” ujarnya lagi.
Menurutnya, operasi tersebut berjalan lancar menggunakan peralatan khas termasuk kamera infrared termal,
alat pengesan pengecaman bahan kimia, penganalisis pengecaman gas dan meter gas.