Alam Sekitar

Lebih 11,000 hektar hutan kekal diwarta di Perlis

KANGAR 9 Okt. – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, Kerajaan Negeri Perlis telah berjaya mengekalkan keluasan kawasan Hutan Simpanan Kekal. Pada tahun ini sebanyak 270 hektar lagi kawasan Hutan Simpanan baharu berjaya di warta yang menjadikan keluasan keseluruhan Hutan Simpanan Kekal di negeri Perlis seluas 11,140 hektar.

Baginda menambah, pengurusan hutan masa kini jauh lebih mencabar berbanding zaman dahulu. Tekanan isu global seperti perubahan iklim, pertambahan penduduk dunia, isu kesihatan dan keterjaminan sumber makanan terus memberi tekanan kepada guna tanah pengurusan kawasan hutan di negara ini.

“Isu-isu semasa berkaitan perhutanan dan perkara-perkara yang berkaitan perlu diselesaikan melalui pendekatan-pendekatan yang terbaik demi kepentingan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan terutama dalam perkara-perkara yang menyentuh kepentingan pengurusan hutan negara”, titah Tuanku Raja Muda lagi.

Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Persidangan Pengarah-Pengarah Perhutanan Negeri Semenanjung Malaysia (PPNSM) Ke-44 Tahun 2024 di Dewan Bankuet, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis, Kangar.

Keberangkatan tiba Baginda diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Haji Zahari Ibrahim dan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Perlis, Awang Shaffie Awang Ahmadni.

Persidangan ini telah dianjurkan oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia yang melibatkan Pengarah-Pengarah Perhutanan Negeri (PPN) bagi membincangkan isu-isu perhutanan melibatkan perkara dasar, teknikal dan operasi perhutanan dalam memastikan Pengurusan Hutan Secara Berkekalan (PHSB).

Pengurusan Tertinggi Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) turut terlibat dalam perbincangan melalui kaedah forum ini yang telah bermula dan berlangsung selama lima hari iaitu bermula pada 5 hingga 9 Oktober 2024.

Tuanku Raja Muda Perlis turut berkenan untuk menyempurnakan simbolik pelancaran Pelan Pengurusan Biodiversiti Taman Negeri Perlis yang akan menjadi titik tolak untuk merealisasikan pewujudan Pusat Biodiversiti Negeri Perlis berfokuskan skop pengurusan sumber biodiversiti yang menyeluruh untuk negeri ini.

Baginda turut berkenan untuk menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) yang melibatkan Jabatan Perhutanan Negeri Perlis, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Jabatan Perhutanan Negeri Perlis dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button