Rencana

‘Lebai balon balak’

KITA suka rumah dengan hiasan dalaman serta luaran yang cantik dan tambah indah dilengkapi dengan perabot yang halus seninya.

Semuanya tentulah diperbuat daripada kayu. Dan kayu itu adalah hasil balak. Tetapi apabila disebut pembalakan masing-masing mata terbeliak marah.

Takkanlah semua perabot dan segala hiasan di rumah kita diperbuat daripada tepung.

Kita hakikatnya harus menentang pembalakan haram yang menjarah hutan tanpa memperdulikan kesan kepada alam sekitar.

Negeri-negeri yang agak ‘kampung’ isu pembalakan sangat sensitif, apatah lagi hutan yang ada juga tidak seberapa lagi.

Related Articles

Jadi apabila Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor menyentuh isu ini yang ibarat ‘Api di dalam sekam’ ia cepat menjadi marak dan menimbulkan kemarahan oleh banyak pihak.

Tentera siber pembangkang apa lagi ibarat semut menghurung gula melancarkan serangan dari segala ceruk penjuru mengalahkan roket Hamas ke wilayah Israel. Maka tersebarlah istilah ‘Lebai balon balak’.

Melabel sesuatu dengan nama buruk adalah kaedah paling mudah untuk menjatuhkan reputasi apa jua barangan, perkhidmatan dan kerajaan.

Itulah kejayaan Pakatan Harapan (PH) melakukan sebelum pilihan raya umum lalu hingga tumbang kerajaan Barisan Nasional (BN).

Kerajaan BN dilabel sebagai kleptokrasi, walaupun ramai tidak faham istilah itu tetapi ia tetap diterima.

GST dilabelkan dengan seribu satu macam nama buruk, bagi Mat Sabu ia bermaksud Gasak Sampai Tertungging. Jadi hinggakan ilmu hisab mudah pun sukar diterima rakyat. GST sebanyak 6 peratus tetap dianggap buruk walaupun bertujuan menggantikan SST dan cukai lain berjumlah 16 peratus.

1MDB tetap dianggap buruk walaupun pelbagai program kebajikan rakyat dan pembangunan negara telah berjaya dilaksanakan.

Kejayaan Riza Shahriz Abdul Aziz sebagai penerbit filem di Hollywood tidak diraikan dan diiktiraf kerana beliau anak tiri Datuk Seri Najib Razak.

Najib pula telah dilabel sebagai penyamun dan penyangak, walaupun mahkamah belum memutuskannya. Dan orang yang dilabel dengan nama buruk itulah yang telah memacu pertumbuhan pembangunan ekonomi dan infrastruktur negara.

Begitulah Red Granite Pictures berjaya menerbitkan filem hebat The Wolf of Wall Street tetapi dilabel sebagai filem porno.

Sedangkan mana mungkin filem porno ditayang untuk tontonan umum dan dicalonkan untuk anugerah Oscar.

Kejayaan anak Melayu ini sepatutnya dibanggakan kerana bukan mudah untuk bertapak di Amerika Syarikat yang secara berseloroh dikatakan Hollywood didominasi oleh golongan gay dan Yahudi sahaja.

Jika dilihat kejayaan K-Pop sendiri di persada dunia, peringkat permulaan ia adalah inisiatif kerajaan Korea.

Berbalik isu di Kedah ramai yang mempertikaikan dan menyifatkan MB Kedah dari Pas kemarukkan balak. Sedangkan ia soal kewangan negeri yang perlu ditangani akibat sikap semberono Datuk Seri Mukhriz Mahathir mentadbir negeri Jelapang Padi itu.

Mukhriz yang dikatakan tidak selesa di jelapang padi, lebih banyak menghabiskan masa di ibu negara bersama keluarga yang meluluskan kawasan pembalakan berkenaan.

Beliau juga meluluskan warta kawasan tadahan hujan melibatkan kawasan pembalakan yang diluluskan lebih awal.

Ekoran itu tuntutan sebanyak RM1 bilion melibatkan kira-kira 40 syarikat dengan jumlah kelulusan konsesi sebanyak 131 dan kawasan seluas 22,098 hektar di Hutan Simpan Ulu Muda telah diajukan.

MB Kedah yang baharu hanya mencadangkan untuk menggantikan kawasan lain yang tidak membabitkan kawasan sensitif bagi mengelakkan kerajaan negeri terpaksa membayar ganti rugi berbilion ringgit.

Umum sedia maklum sebagai negeri jelapang padi, Kedah bukannya mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh seperti Selangor dan Johor atau Pulau Pinang.

Jika terpaksa membayar tuntutan berbilion ringgit, sudah pasti ia menjejaskan kewangan negeri. Ini pembalakan halal dan bukan haram yang pastinya akan turut menggerakkan ekonomi negeri serta mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

Jadi isu balak di Kedah ini tidak seharusnya diperpanjang, Mukhriz dan tentera sibernya tidaklah perlu terlalu ghairah kerana dikhuatiri akan lebih banyak keaiban pemimpin kesayangan mereka akan ‘dicuci’ di mata awam.

Biarlah kerajaan negeri Kedah yang baharu berusaha memajukan dan meningkatkan pendapatan penduduk khususnya yang terlibat dalam kegiatan penanaman padi.

Jangan jelapang padi hanya tinggal kepuk padi sahaja, akibat terlalu banyak berpolitik. – SM

 

 

 

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button