Nasional

Lawatan Pemangku Raja Perlis ke Namibia masuk hari kedua

Lawatan khas Program Safar Ilmi Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang diketuai oleh Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Windhoek, Namibia itu telah masuk hari kedua.

Baginda diiringi anakanda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Turut mengiring ialah Mufti Perlis, Datuk Arif Perkasa Prof Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Prof Datuk Dr Zaliman Sauli dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Tuanku Pemangku Raja memulakan program padat dengan mengadakan lawatan ke Kilang Halal MEATCO yang memproses daging lembu halal Namibia untuk pasaran lokal dan juga dieksport ke negara lain.

Baginda kemudian terlibat dengan sesi perbincangan bersama Yayasan Pembangunan dan Pendidikan Afrika Namibia (ADEF) yang melibatkan Ahli Lembaga Pusat Islam Windhoek (WIC) serta dipersembah maklumkan taklimat mengenai aktiviti, program dan beberapa projek murni ADEF dan WIC di Windhoek Islamic Centre Pionierspark sebelum berangkat ke Madrasah Kanak-Kanak di Masjid Al-Hidayah di Clemence Kapuuo Street.

Pada tengahari, Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan berangkat untuk menghadiri satu Sesi Ramah Mesra bersama Rakyat Malaysia dan Persatuan Rakan-Rakan Malaysia di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di No 98, Nelson Mandela Avenue, Klein yang dihoskan oleh Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Namibia, Datuk Dr Mohamad Rameez Yahaya.

Para tetamu di majlis tersebut turut terlibat dengan Promosi Masakan Perlis bilamana mereka telah dipersembahkan demonstrasi cara penyediaan masakan Kurma Daging Perlis yang dilaksanakan sempena kempen ‘Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025’ yang disediakan oleh Persatuan Wanita Kementerian Luar Negeri (PERWAKILAN) Malaysia yang diketuai oleh isteri Mohamad Rameez, Datin Noor Zulaikha Rameez.

Delegasi Safar Ilmi MAIPs ini kemudian bergerak ke International University Management (IUM) of Namibia yang sudahpun mempunyai kerjasama Perjanjian Persefahaman dengan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan selepas itu turut mengadakan lawatan ke Windhoek Female Correctional Facilities di Khomas Region serta Independence Namibian Museum yang terletak di Independence Memorial Museum.

Lawatan hari tersebut diakhiri dengan Tuanku Pemangku Raja meluangkan masa menyaksikan kelab bolasepak African Stars Football Club yang merupakan penyandang juara Namibia Premier Football League menjalani latihan sebagai persiapan sebelum pertandingan akhir pada sabtu ini.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button