Laporkan kejadian keganasan rumah tangga – Rina
Datuk Seri Rina Mohd Harun menyarankan masyarakat membantu kerajaan menangi keganasan rumah tangga dengan melaporkan kejadian berlaku.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu berkata laporan menerusi talian 15999 atau menerusi whatsapp 019 2615999 atau laporkan terus kepada polis dapat mempercepatkan tindakan.
Kata beliau, Akta Keganasan Rumah Tangga digubal untuk tujuan melindungi wanita daripada terus menjadi mangsa pasangannya.
Katanya pindaan turut dibuat dengan meluaskan tafsiran keganasan rumah tangga daripada bentuk fizikal kepada skop yang lebih meluas iaitu meliputi penderaan emosi, mental dan psikologi serta penggunaan bahan yang memabukkan pada mangsa.
Rina dalam pada itu turun padang bagi menyampaikan bakul makanan kepada 31 buah keluarga yang berdaftar dengan JKM di Flat Sri Perlis.
Keluarga-keluarga ini terdiri daripada golongan warga emas, OKU, Asnaf dan B40 yang mengalami pergerakan yang terhad untuk mencari rezeki.
Kerajaan sedar, berikutan PKP penuh yang dilaksanakan, ramai yang mengutarakan aduan dan pertanyaan menerusi Talian Kasih terutamanya berkaitan bantuan kebajikan.
Ini membuktikan, Talian Kasih adalah sebuah talian prihatin masyarakat yang menghubungkan permasalahan masyarakat kepada agensi-agensi berkaitan.
Dalam hantaran ke Facebook kementerian berkenaan Rina memaklumkan mereka yang memerlukan bantuan serta bimbingan kaunseling turut boleh menghubungi Talian Kasih.
Jadilah masyarakat yang prihatin, kongsikan juga kepada mereka yang memerlukan, katanya.
“Diharapkan sumbangan ini dapat membantu meringankan beban penerima khususnya ketika PKP penuh yang dijalankan,” katanya.