SATU laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai terhadap Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kerana terlibat dalam konspirasi menjatuhkan kerajaan.
Pengadu membuat laporan polis berkenaan selepas terbaca Presiden UMNO itu mengadu audio perbualan dengan pemimpin PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sedangkan sebelum ini beliau menafikan itu adalah suara beliau.
Pengakuan Zahid itu dibuat dalam pertemuan dengan para pemimpin UMNO semalam.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mengaku tentang suaranya dalam rakaman telefon yang tular bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini.
Laporan polis oleh ahli UMNO itu dibuatnya kira-kira pukul 11 pagi tadi.
“Ya, laporan polis telah dibuat kira-kira pukul 11 pagi tadi. Ia berhubung pengakuan Presiden UMNO tentang suaranya yang tular serta pendedahan percakapan beliau bersama Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah,” katanya.
Tambah individu itu, laporan yang dibuatnya itu bertujuan meminta polis menyiasat kenyataan Ahmad Zahid yang menafikan penglibatannya dirinya dalam audio yang tular tersebut.
“Kenyataannya itu telah menimbulkan kekeliruan kepada ahli UMNO seperti saya dan membuatkan saya rasa tertipu dengan beliau.
“Laporan polis ini juga dibuat untuk meminta polis menyiasat sama ada Ahmad Zahir telah melakukan penipuan terhadap Yang di-Pertuan Agong dan melakukan kesalahan dengan keterlibatan dalam konspirasi menjatuhkan Kerajaan Malaysia yang menganggu-gugat keamanan rakyat Malaysia,” katanya.