Lapan kawasan di Lembah Klang catat IPU tidak sihat
LAPAN kawasan di Lembah Klang mencatat Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat dengan bacaan melebihi 150 setakat pagi ini.
Berdasarkan kemas kini laman sesawang Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Cheras mencatatkan IPU tertinggi dengan 164, diikuti Petaling Jaya, Shah Alam dan Banting masing-masing 157; Putrajaya (156); Batu Muda dan Johan Setia (153); serta Klang (152).
Bacaan udara tidak sihat turut dicatatkan di negeri lain seperti di Negeri Sembilan melibatkan tiga stesen iaitu Nilai (163); Seremban (158); dan Port Dickson (156).
Dua stesen di Melaka, iaitu Bukit Rambai dan Alor Gajah, masing-masing merekodkan bacaan IPU 153 dan 138.
Antara kawasan lain terjejas termasuk Seberang Jaya, Pulau Pinang (107); Taiping, Perak (137); dan Tangkak, Johor (104).
Bacaan IPU 0-50 dikategorikan sebagai baik; 51-100 sederhana; 101-200 tidak sihat; 201-300 sangat tidak sihat; 301-400 berbahaya; 401-500 sangat bahaya, dan bacaan lebih 501 menandakan kecemasan.
Sementara itu bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) tidak sihat di beberapa bahagian negara semalam adalah disebabkan kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia, menurut Jabatan Alam Sekitar.
Ketua Pengarah Alam Sekitar Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, kebakaran hutan menyebabkan jerebu rentas sempadan yang menjejaskan pantai barat Semenanjung serta bahagian barat Sarawak.
Bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) tidak sihat di beberapa bahagian negara semalam adalah disebabkan kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia, menurut Jabatan Alam Sekitar.
Bagaimanapun, hujan di beberapa bahagian barat Kalimantan mungkin membantu mengurangkan keadaan titik panas dan berjerebu, tambahnya.
Setakat 11 malam tadi, Cheras, Kuala Lumpur mencatatkan bacaan IPU paling tidak sihat pada 155. Kualiti udara buruk turut dikesan di Kuala Selangor (152); Petaling Jaya (152); Shah Alam (151); Putrajaya (121); Batu Muda (107); dan Johan Setia (106), semuanya di Lembah Klang.
Nilai di Negeri Sembilan turut mengalami keadaan berjerebu dengan IPU 133, manakala di Pulau Pinang, hanya Seberang Jaya mengalami kualiti udara tidak sihat dengan IPU 105.
Bahagian lain di negara ini mencatatkan bacaan IPU yang baik dan sederhana. – SM
BACA 4 kawasan di Johor, Negeri Sembilan catat IPU tidak sihat