Nasional

Langkawi dibuka kepada pelancong luar bermula Isnin depan

PROJEK rintis gelembung hijau di Pulau Langkawi bagi pelancong asing dari luar negara akan bermula pada Isnin depan.

Majlis Pemulihan Negara (MPN) bersetuju supaya pembukaan semula sempadan negara untuk pelancong asing dilakukan selewat-lewatnya pada 1 Januari 2022 bagi menggiatkan lagi sektor pelancongan negara.

Pengerusi MPN Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin berkata, pembukaan semula sektor pelancongan domestik yang bermula dengan gelembung hijau Pulau Langkawi pada 16 September lalu memberikan kesan positif kepada industri pelancongan negara.

“Majlis Pemulihan Negara akan terus menyokong usaha Kerajaan bagi mencapai kadar pertumbuhan ekonomi yang telah diunjurkan iaitu antara 5.5 hingga 6.5 peratus pada tahun hadapan, dengan memastikan proses pemulihan dilaksana dengan pantas dan mengikut keutamaan.

“Walaupun pemulihan negara berada pada landasan yang betul , kita tidak boleh leka dan alpa dengan kejayaan-kejayaan terutamanya dalam pengawalan jangkitan wabak COVID-19,” katanya.

Muhyiddin hari ini mempengerusikan mesyuarat kelima Majlis Pemulihan Negara (MPN).

Mesyuarat telah mendengar taklimat Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berhubung status terkini COVID-19 di negara.

“Alhamdullilah, dengan kadar vaksinasi dan kepatuhan SOP yang tinggi, trend jangkitan COVID-19 terus menunjukkan penurunan.

“Peralihan fasa pemulihan negara juga berjalan dengan baik dengan 5 buah negeri beralih ke Fasa Empat pada 8 November lepas di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN),” kata Muhyiddin.

Mesyuarat tersebut juga meneliti pembentangan Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahaidin mengenai prestasi pertumbuhan ekonomi terkini mengikut sektor serta subsektor.

Pembentangan tersebut akan membantu MPN untuk mengenal pasti sektor dan subsektor yang perlu diberikan fokus dan keutamaan berdasarkan data dan statistik dalam usaha pemulihan negara.

Selain itu, Ketua Pengarah Imigresen Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud telah membentangkan laporan status pelaksanaan Pelan Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) dan Rekalibrasi Pulang (RP).

Muhyiddin berkata, Kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia telah membuat keputusan untuk memberi pengecualian syarat kuota dan kebenaran kepada semua sektor termasuk subsektor perkhidmatan.

“Pendaftaran RP juga telah dilanjutkan kepada 30 Jun 2022 dan kelonggaran ini diharap dapat membantu para pengusaha industri terutamanya sektor PKS bagi mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja,” katanya.

Muhyiddin turut menyeru seluruh rakyat Malaysia agar terus memberikan kerjasama dalam memastikan kejayaan usaha pemulihan negara.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button