Ekonomi

Langkah kerajaan naik gaji minimum tingkat kualiti hidup pekerja

Langkah kerajaan menaikkan gaji minimum kepada RM1,700 disifatkan penting bagi memastikan rakyat Malaysia yang bekerja menerima pampasan yang adil.

Inisiatif Penyelidikan Sosial dan Ekonomi (SERI) melalui satu kenyataan berkata, langkah itu selain meningkatkan kualiti hidup pekerja juga memberi keadilan kepada perniagaan kecil dengan memberi penangguhan sementara keperluan gaji minimum untuk perusahaan mempunyai kurang daripada lima pekerja.

“Keputusan strategik ini bertujuan untuk mencapai keseimbangan antara melindungi hak pekerja dan membolehkan perniagaan kecil menyesuaikan diri tanpa beban yang tidak sepatutnya,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pembentangan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat minggu lalu memaklumkan, kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,500 sebulan kepada RM1,700 sebulan yang akan berkuat kuasa mulai 1 Feb 2025 dengan memberi penangguhan kuat kuasa kepada majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja bagi tempoh enam bulan.

Dalam pada itu SERI dalam kenyataannya turut menyatakan sokongan kepada rancangan kerajaan untuk menguatkuasakan dasar gaji progresif mulai tahun depan.

“Dasar tersebut menggambarkan komitmen kerajaan untuk mewujudkan standard gaji yang jelas dan adil di seluruh sektor berbeza.
“SERI percaya menyediakan garis panduan gaji minimum komprehensif untuk semua sektor seperti dijanjikan Kementerian Sumber Manusia akan memperkasakan pekerja dengan pengetahuan tentang gaji yang adil.
“Semasa melangkah ke tahun 2025, SERI komited untuk memantau kesan perubahan ini dan menyokong dasar lanjut yang menggalakkan kesaksamaan sosial dan kemampanan ekonomi,” kata kenyataan itu.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button