Langkah kawalan pergerakan, tindakan tepat
KOMENTAR
PENGUMUMAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melaksanakan perintah kawalan pergerakan bagi menangani gelombang kedua penularan wabak COVID-19 satu langkah tepat.
Tindakan itu akan dapat mengelakkan penularan wabak maut itu, pada masa yang sama dapat mengelakkan rasa panik masyarakat.
Sektor utama dan penting seperti bank, pasar raya, stesen minyak dan kemudahan asas lain masih berjalan seperti biasa.
Langkah ini lebih wajar berbanding perintah berkurung yang akan menyebabkan ketakutan dan panik.
Tetapi ia mempunyai cabaran tersendiri kerana pihak berkuasa perlu memastikan perintah tersebut dilaksanakan kerana pasti ada mereka yang degil atau tidak faham dengan keputusan kerajaan itu.
Masyarakat pula perlu mempunyai rasa tanggungjawab sendiri untuk memastikan mereka memberi kerjasama kepada langkah yang diambil kerajaan supaya gelombang penularan wabak ini dapat dihentikan sepenuhnya.
Bagi mereka yang baharu pulang dari luar negara perlu menjalani kuarantin sendiri di kediaman selama dua minggu dan jika terdapat gejala dijangkiti wabak COVID-19 mereka perlu segera mendapatkan rawatan.
Bagi kebanyakan kita ini adalah pengalaman pertama melalui peristiwa sebegini dan memang agak sukar untuk mengatur semula jadual serta urusan kehidupan.
Bagaimanapun langkah drastik ini perlu diambil bagi mengelakkan situasi yang lebih buruk.