Langkah Anwar: Bukan tentang politik kuasa tetapi amanah – Mujahid
Tindakan Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadap Yang di-Pertuan Agong pada 13 Oktober untuk mempersembahkan majoriti sokongan ahli Parlimen bukan tentang politik kuasa.
Sebaliknya menurut Naib Presiden Parti Amanah Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, langkah Anwar itu adalah sebagai satu bentuk amanah dan taklif menguruskan negara di saat krisis.
“Mari kita doakan langkah DSAI akan sampai dengan izin Allah pada 13 Oktober nanti di balai mengadap istana.
“Saya ingin ingatkan, jika sampai masanya nanti usahlah kita berseronok dan bersorak, kita harus insaf dan berendah diri kerana bebanan atas bahu DSAI dan majoriti MP yang menyokongnya lebih berat dari apa yang boleh kita bayangkan.
“Ia bukan tentang politik kuasa tetapi amanah dan taklif menguruskan negara di saat krisis!” kata Mujahid.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu menjawab kritikan beberapa pihak yang mempersoalkan tindakannya menyokong langkah yang dibuat Anwar untuk mengambil alih kuasa daripada Muhyiddin.
Muhajid berkata, ada pihak yang mempersoalkan kewajaran langkah Anwar tersebut ketika jangkitan Covid-19 sedang menular dan menuduh Pakatan Harapan bermain politik pada saat rakyat menderita akibat jangkitan virus itu.
Katanya, ada yang menyokong gerakan ‘Pause’ dan memerlukan ‘gencatan senjata’ dalam soal-soal politik untuk memberi tumpuan kepada masalah negara.
Menurut Mujahid, dia memahami semua respons yang disampaikan namun baginya intipati langkah Anwar adalah berpandukan kepada beberapa keperluan utama yang sangat mendesak khususnya di waktu Covid.
Antaranya adalah untuk membentuk kerajaan majoriti yang kukuh selepas majoriti kerajaan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin sangat rapuh.
Sedangkan menurut Mujahid, semasa krisis seperti ini, sebuah kerajaan yang kukuh majoritinya sangat diperlukan dan Anwar ada kekuatan itu untuk menyumbang kepada pengurusan krisis covid dengan sokongan majoriti lebih padu dan kukuh.
“Jangan biarkan negara ini yang dilanda krisis pandemik dikendalikan oleh sebuah kerajaan tanpa mandat rakyat, lemah dan tanpa hala tuju nasional, kelak kita akan menyesal kerana mempertikaikan soal kewajaran atau atas alasan gencatan senjata,” kata Mujahid.
Semalam, Anwar mendakwa, beliau mendapat perkenan menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah pada Selasa ini.
Dalam satu kenyataan, Anwar yang juga Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat, berkata beliau akan mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti Ahli Parlimen yang didakwa menyokongnya seperti dinyatakan ketika sidang medianya pada 23 September lalu.-SM