Lampu navigasi pesawat jadi panduan PATI mendarat di pantai negara
RATUSAN pelarian Rohingya yang memasuki perairan negara pada Jun lepas dipercayai menggunakan isyarat lampu navigasi kapal terbang yang terletak di atas Gunung Mat Cincang sebagai panduan untuk mendarat di Pulau Langkawi.
Pegawai Memerintah Markas Operasi Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 1 Langkawi, DSP Rohizan Mohamad Said berkata, lampu navigasi itu membantu pendatang tanpa izin terbabit mencari daratan apabila mereka memasuki perairan negara pada waktu malam memandangkan keadaan di tengah laut sangat gelap ketika itu.
“Oleh itu, tekong laut yang membawa pendatang tanpa izin ini akan mencari isyarat lampu navigasi untuk mendaratkan mereka.
“Isyarat lampu navigasi yang berada di atas gunung itu sangat penting kerana menunjukkan kepada juruterbang yang kawasan tersebut adalah kawasan pergunungan.
“Selain ada kereta kabel, sekali gus mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya kepada BERNAMA dalam liputan eksklusif media bersama National Task Force.
Rohizan berkata, isyarat lampu navigasi itu akan membawa pendatang tanpa izin mendarat di Teluk Nibong, berhampiran sebuah hotel lima bintang yang terletak di pesisiran pantai.
Menceritakan mengenai penemuan kumpulan pendatang tanpa izin tersebut, Rohizan berkata, itu adalah kali kedua mereka membuat pendaratan di teluk berkenaan.
“Saya difahamkan pendatang tanpa izin telah berada di laut selama empat bulan dan pihak PPM menerima maklumat awal daripada nelayan yang ternampak sebuah kapal asing mencurigakan memasuki perairan negara.
“Sejurus menerima maklumat, PPM mengesan sebuah kapal yang didapati terkandas 500 meter dari teluk berkenaan dan mendapati sebahagian mereka terjun ke laut bersama tekong serta berenang menuju ke daratan,” katanya.
Pada 8 Jun lepas, Bernama melaporkan seramai 269 warga Rohingya yang cuba menceroboh perairan Langkawi ditahan oleh pihak berkuasa yang turut menemukan mayat seorang wanita di atas bot yang dinaiki pendatang tanpa izin terbabit.