Ekonomi

Laluan hijau Malaysia-Indonesia semarakkan sektor BE, MICE

World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) mengalu-alukan hasil persetujuan Malaysia dan Indonesia dalam melaksanakan Gelembung Perjalanan Laluan Hijau Timbal Balik/Aturan Koridor Perjalanan (RGL/TCA).

Pengarah WTCKL Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim berkata, kesepakatan yang dicapai susulan lawatan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Indonesia baru-baru ini dilihat dapat memulihkan dan menyemarakkan kembali sektor Acara Perniagaan (BE) serta Mesyuarat, Insentif, Konvensyen dan Pameran (MICE) di Malaysia.

Langkah tersebut juga dijangka dapat membantu ke arah kelangsungan ekonomi di Malaysia sekali gus menjadikan hubungan Malaysia dan negara-negara yang terlibat dengan RGL/TCA terus akrab.

Menurut Irmohizam, anggaran kerugian sebanyak RM2.25 billion setakat Disember 2020 yang dilaporkan oleh Persatuan Penganjur dan Pembekal Persidangan dan Pameran Malaysia (MACEOS) sangat membimbangkan pemain-pemain industri.

“Saya menyokong sepenuhnya pelaksanaan RGL/TCA. Hal ini akan membantu industri BE dan industri MICE kembali aktif dalam penganjuran acara perniagaan serta menghidupkan kembali perkhidmatan kami, sekali gus menyenangkan semua pihak.

“Saya juga ingin mencadangkan agar RGL/TCA ini disegerakan terutamanya untuk industri BE dan industri MICE di Malaysia. Kita dapat lihat bahawa industri-industri ini merupakan antara penyumbang terbesar kepada ekonomi negara, dan jika dapat dilaksanakan dengan secepat mungkin, akan menyumbang untuk memantapkan kembali ekonomi di Malaysia.”

“Tentu sekali pengawalan ketat bagi pelaksanaan RGL/TCA akan diambil kira dengan sangat terperinci untuk memastikan zon yang terlibat terus menjadi zon hijau dan selamat untuk para pengunjung.” katanya.

Pengerusi Persidangan dan Pameran Asia Pasifik (APAC) Majlis Penasihat Anggota (MAC) World Trade Centers Association (WTCA) itu berkata, sektor BE dan MICE ingin melihat RGL/TCA dilaksanakan dengan segera bagi menstabilkan semula ekonomi Malaysia.

Beliau berkata, pelaksanaan inisiatif ini sangat kritikal untuk mengimbangkan dan membantu dalam penjanaan ekonomi di Malaysia dan diharapkan akan menjadikan Malaysia terus maju dan bangkit di persada dunia.

Irmohizam berkata, kelangsungan sektor BE dan MICE dapat disemarakkan di skala antarabangsa sekiranya RGL/TCA ini mendapat penglibatan negara-negara jiran seperti Brunei, Singapura dan Thailand serta anggota rantau Asia Pasifik seperti China, Taiwan, Hong Kong, Australia dan New Zealand.

“Adalah menjadi impian sektor BE dan MICE untuk meneruskan perkhidmatan dengan segera dan lebih menyeluruh dengan mengamalkan pengawalan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat seperti yang disarankan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.-SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button