APA anda akan buat jika RM10,000 dari akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) anda dibenar dikeluarkan?
Demikian soalan yang ditanya Suara Merdeka dalam laman media sosial Facebook dan Twitter untuk mendapatkan pandangan netizen tentang keperluan mereka.
Ini adalah susulan cadangan pengeluaran akaun 1 daripada KWSP yang disuarakan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Tekanan ekonomi pada hari ini menyebabkan semua rakyat Malaysia terjejas dari segi pendapatan sama ada melalui pekerjaan ataupun perniagaan.
Hilang pendapatan atau pekerjaan adalah suatu hakikat yang memberi dugaan cukup besar, begitu juga mereka yang masih mempunyai pekerjaan tetapi dikurangkan pendapatannya seperti tiada elaun kerja lebih masa dan dipotong elaun-elaun tertentu.
Bagi pekerja yang bergantung kepada imbuhan komisyen pula sememangnya terkesan dengan kemerosotan hasil jualan berikutan pengguna kehilangan kuasa membeli sedikit demi sedikit.
Hal demikian menyebabkan cadangan pengeluaran simpanan daripada KWSP bukan sahaja diterima tetapi disambut baik ramai.
Justeru, penyelesaian hutang dan simpanan antara tujuan yang dilontarkan netizen sekiranya RM10,000 dibenarkan keluar daripada KWSP.
“Bil api air dah tertunggak banyak la juga. Tak tahuu bila la dia datang nak potong, isteri tidak bekerja, makan pun sudah mula bercatu. Gadai rumah atau kereta demi boleh buat kelangsungan hidup selagi pendemik Covid-19. Tapi tak tahu bila,” luah Malek Azhar.
“Simpan 50 peratus,lagi 50 peratus berbelanja untuk meningkatkan ekonomi peniaga-peniaga,” komen Azlan Ahmad.
“Banyak benda boleh buat bayar hutang beli barangan keperluan boleh tahan sampai tiga bulan, kena ingat moratorium bank boleh tahan sampai tahun depan sahaja,” kata Khairuddin Rosle.
https://www.facebook.com/suaramer/posts/367106038043415
“Simpan dulu. Pakai bila terdesak kalau tak cukup duit. Atau buat tambah sebarang perbelanjaan harian,” ujar Muhammad Shukri.
“Simpan kalau berlaku kecemasan, simpanan pun semakin surut. Lagi pun pelitup muka, hand sanitizer benda keperluan sekarang ini perlu beli dan kena pakai setiap hari.
“Langit tidak selalu cerah, jadi kena bersedia apa akan berlaku. Memanglah KWSP itu simpanan juga, tetapi ambil jangka masa dan umur yang lama untuk keluarkan,” jelas Anim Hanim.
Demikian luahan pengguna media sosial menerusi pertanyaan umum Suara Merdeka sejak Sabtu lalu.
Selain penyelesaian hutang dan simpanan, ada sebahagian mereka juga mahu menjadikan duit KWSP itu sebagai modal untuk berniaga secara kecil-kecilan.
“Usahakan sarang burung walid untuk masa hadapan. Memang jatuh harga pasaran sekarang, tetapi sekurang-kurangnya dapatlah, meringankan beban keluarga saya dalam jangka masa panjang, jika sudah berhasil,” kata Mohammad Amirul Nizam.
“Buat modal kasut bundel jual online untuk merancakkan ekonomi negara dan keluarga,” cadang Mohd. Rozuyal Zuyal.
“Hendak buat modal berniaga burger,” komen Penjejak Badai.
“Guna duit untuk modal niaga. Tak perlu pinjam ‘ah long’ yang ada riba. Lebih, bayar komitmen. Bila ekonomi sudah pulih tahun 2022, kalau pulihlah, saya hendak beli emas sikit, simpan.
“Kalau boleh saya hendak keluar semua duit KWSP, risau pemimpin salah guna duit. Salah pilih pemimpin, gila kuasa pun masalah juga.
“Tak sempat tua mati dulu, tak sempat guna KWSP. Kalau dapat saya nak beli emas boleh pajak atau tukar ganti,” kata Md. Affisharuddin.
“RM5000 simpan dekat ASB (Amanah Saham Bumiputera) sebab simpan dalam KWSP susah hendak ambil balik. RM2,500 bayar hutang kecil-kecil, lagi RM2,500 buat modal beli barang-barang niaga,” ujar Mohd. Rusli.
Demikian luahan pengguna media sosial yang mahukan kerajaan menerima cadangan pengeluaran simpanan dalam KWSP dalam tempoh sukar bagi mereka. – SM