Politik

Hilang pendapatan, terbelenggu hutang golongan M40, B40 paling terkesan

TEKANAN ekonomi yang dihadapi negara akibat pandemik Koronavirus (Covid-19) memberi kesan paling mendalam kepada golongan B40 dan M40.

Paling terimpak adalah mereka yang kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan ekoran dasar pengurangan pekerja oleh syarikat serta pemberhentian operasi secara kekal.

Keadaan ini menambah risiko mereka terjejas dengan tekanan emosi dan kemungkinan akan meminjam daripada Ah Long atau ceti haram.

Ia tidak mustahil akibat daripada komitmen hutang yang dimiliki seperti rumah, kenderaan, kad kredit dan sebagainya.

Justeru, cadangan pengeluaran simpanan daripada akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) diterima mereka sebagai wajar bagi menyelesaikan masalah tersebut.

“Maka pengeluaran akaun 1 KWSP wajar diberi kelonggaran secara bersasar atau bersyarat. Golongan sasar adalah hanya kepada mereka yg kehilangan sumber pendapatan ataupun pekerjaan sahaja.

“Jika RM10,000 terlalu tinggi maka bolih hadkan kepada RM5,000 dan dibayar selama enam hingga 10 bulan sepertimana akaun 2 untuk pembayaran perumahan.

“Dalam masa sama, mari kita sama-sama berdoa agar pandemik Covid-19 ini segera berlalu.”

Demikian kata bekas Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad mengulas keperluan cadangan pengeluaran simpanan daripada akaun 1 KWSP.

Tambah beliau, hutang yang dihadapi kerajaan tidak sama dengan rakyat begitu juga tekanannya apabila bank akan mengejar peminjam untuk melunaskan bayaran bulanan.

“Hutang kerajaan tidak sama dengan hutang rakyat. Jika kerajaan terpaksa berhutang pada skala yg besar maka instrumen pembayaran melalui terbitan Bon, Sukuk ataupun dalam situasi tertentu.

“Kerajaan masih boleh mencetak wang bagi membayar hutang.

“Manakala berbeza dengan hutang rakyat ataupun hutang isi rumah (Household Debt) pada kadar 82 peratus melebihi KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) adalah terlalu tinggi buat Malaysia.

“Ia merangkumi hutang rumah, kereta, kad kredit dll, jika tak mampu bayar maka bank akan mengejar peminjam sehingga ke lubang cacing sekalipun,” jelasnya.

Oleh demikian, kerajaan disaran melaksanakan perancangan baharu dalam membantu rakyat menghadapi tekanan ekonomi akibat krisis pandemik global.

Kelegaan sementara yang diberikan kepada rakyat bermula pada April lalu sudahpun berakhir menyebabkan mereka tertunggu-tunggu perancangan seterusnya.

Kemudahan diberi kerajaan sudah berakhir, namun krisis Covid-19 pula memasuki gelombang ketiga yang lebih teruk berbanding penularan peringkat awal.

“Pakej rangsangan ekonomi yg dilancarkan kerajaan sebelum ini antaranya seperti tempoh moratorium yg telah tamat pada September yg lalu kemudian penyambungan moratorium bersasar yg akan tamat pada Disember 2020.

“Juga dilihat hanya memberi ‘Kelegaan’ sementara buat rata-rata rakyat Malaysia. Sekarang majoriti rakyat sudah mula bertanya “What’s next”?

“Kadar pengangguran saban hari semakin meningkat, apabila ketua sesebuah keluarga (Breadwinner) kehilangan pekerjaan.

“Maka kesan domino apabila keperluan fisiologi seperti makan, minum serta tempat tinggal sudah tidak mampu disediakan seperti dahulu.

“Ini akan memberi kesan psikologi kepada anak-anak dan tidak mustahil mampu meruntuhkan institusi keluarga itu sendiri.

“Bila sudah kehilangan pekerjaan atau pendapatan maka pendapatan isi rumah juga turut musnah, berkemungkinan langkah mudah si bapa akan meminjam daripada Ah Long atau ceti haram.

“Masalah hutang yg melebar akan semakin meruncing dan memberi kesan emosi serta psikologi bagi mereka yg terlibat dan ia mampu menjurus kepada gejala sosial serta jenayah dan akhirnya golongan T20 juga akan menjadi sasaran.

“Jangan sesekali kita biarkan rakyat yang kelaparan ‘a hungry man is an angry man‘,” kata Shahrir lagi. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button