EkonomiNasionalpilihan

Kutipan Tambahan RM1.63 Juta Disalurkan Ke Tabung Warga TNB Prihatin (WTP)

Ahli Lembaga Pengarah Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah meluluskan geran sepadan berjumlah RM1.63 juta untuk Tabung Warga TNB Prihatin (WTP) bagi membolehkan lebih ramai golongan rentan yang terjejas akibat pandemik COVID-19 menerima manfaatnya.

Sejak dilancarkan pada 9 Jun lalu, lebih RM1.63 juta telah disumbangkan warga kerja TNB secara sukarela kepada Tabung WTP melalui potongan gaji bulan Jun dan Julai (termasuk pengurusan tertinggi dan Ahli Lembaga Pengarah TNB). Ia melepasi sasaran RM1.5 juta ditetapkan pada tarikh tabung ditutup pada 12 Julai.

Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata keprihatinan warga kerja TNB untuk berkongsi rezeki bersama mereka yang memerlukan terserlah dengan jumlah kutipan melebihi sasaran awal.

Katanya, warga TNB amat peka terhadap golongan yang dilanda pelbagai kesusahan dan tertekan akibat pandemik COVID-19, termasuk mereka yang kehilangan pekerjaan bagi menyara keluarga.

Sumbangan Ikhlas Dan Sukarela

Selain itu, Pengurusan Tertinggi TNB dan Presiden Kesatuan / Yang Di Pertua Persatuan dalaman TNB bersepakat menubuhkan tabung berkenaan sebagai satu kaedah bagi warga kerja TNB bersatu mengumpul sumbangan secara ikhlas dan sukarela.

“Alhamdulillah dengan nilai keprihatinan warga kerja TNB, sejumlah RM1.63 telah berjaya dikumpul secara sukarela. Sebagai perangsang kepada usaha murni ini, kami Ahli Lembaga Pengarah sebulat suara bersetuju untuk menggandakan jumlah kutipan menjadikan jumlah tabung meningkat kepada RM3.26 juta.

“Terima kasih dan tahniah saya ucapkan kepada warga TNB atas semangat muafakat dan kemanusiaan yang ditampilkan. Kejayaan kolektif ini adalah terjemahan nilai-nilai murni budaya TNB iaitu prihatin, kerjasama, mengutamakan pelanggan, integriti, profesionalisme dan berwawasan yang amat penting dalam usaha menyeluruh syarikat itu membantu kerajaan menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya dalam satu kenyataan.

Mahdzir berkata demikian mengulas sokongan TNB ke atas usaha PPN sekali gus menumpukan kepada empat aspek utama seperti menyelamatkan nyawa; melindungi golongan rentan; menyediakan bekalan elektrik yang stabil dan memacu pemulihan ekonomi.

Lebih 10,000 Golongan B40 Terima Manfaat

Menurut Mahdzir selain Tabung WTP, sejak awal tahun ini TNB telah menghulurkan pelbagai bentuk bantuan kepada lebih 10,000 golongan B40 dengan peruntukan hampir RM9.5 juta termasuk membiayai pembinaan semula dan membaiki rumah, pengagihan bekalan makanan dan keperluan asas serta wang saku.

TNB juga tambahnya turut sama menjayakan program Bakul Prihatin Negara yang dilancarkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan tajaan berjumlah RM2 juta. Program membabitkan pengagihan 420,000 bakul bantuan barangan keperluan kepada 1.68 juta penerima yang terkesan akibat pandemik COVID-19 mendapat tajaan daripada beberapa syarikat berkaitan kerajaan.

Zahirkan Nilai Keprihatinan Yang Tinggi

Sementara itu, wakil pengurusan, Project Director (PMO Electric Vehicle) Bahagian Strategy Venture, Ir. Mohd Junaizee Mohd Noor berkata, warga kerja TNB berterima kasih kepada Lembaga Pengarah TNB atas kelulusan geran tambahan tersebut.

“Kelulusan geran sepadan dari Lembaga Pengarah ini sesungguhnya menzahirkan nilai keprihatinan yang tinggi dari warga kerja TNB dari segenap lapisan tidak kira di mana pun kita berada. Semoga sumbangan ikhlas kita semua mendapat keberkatan dariNya,” ujar Ir. Junaizee.

Salah seorang daripada 2,189 penerima Tabung WTP, Suganthi a/p Rajasegaran berkata, sumbangan TNB ini sangat besar baginya dan membolehkan dia membeli ubat-ubatan dan keperluan lain seperti susu untuk anak yang mengalami masalah tulang akibat kemalangan.

“Bila saya dapat beli keperluan-keperluan ini untuk anak yang sudah lama terhenti, saya rasa bersemangat untuk bangun keluar dari kesusahan hidup saya. Saya ucapkan terima kasih kepada TNB,” katanya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button