KUSKOP sokong kerjasama sesama koperasi
KEMENTERIAN Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyokong inisiatif dan kerjasama sesama koperasi di negara ini bagi membangunkan lebih banyak peluang pendapatan kepada golongan usahawan kecil
termasuk melalui penganjuran bazar dan tamu desa.
Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, ini juga selaras dengan usaha kementerian membangunkan jaringan komunikasi diantara pengusaha mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
“Komuniti PMKS adalah tonggak kepada ekonomi negara, menyumbang kepada sekitar 38 peratus Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dan menyumbang kepada sekitar 48 peratus sektor tenaga kerja negara.
“Oleh itu, saya menyokong penuh inisiatif Koperasi Profesional Putrajaya Berhad (KOPROJAYA) dan Koperasi Lembaga Getah Malaysia (KOPGET) menganjurkan Bazaar Riang Raya menyediakan platform keusahawanan dan tempat menambah pendapatan kepada para usahawan dan peniaga kecil.
“Saya berharap kerjasama dua koperasi ini menjadi contoh kepada lebih 16,000 koperasi yang ada di Malaysia,” katanya selepas lawatan ke Bazar Riang Raya, di Rubber Park, KLCC, di sini, semalam.
Bazar itu menghimpunkan sekitar 30 usahawan termasuk daripada Koperasi Usahawan dan Pengusaha Foodtruck.
Pada majlis ringkas itu, Ewon turut menyaksikan simbolik kerjasama di antara KOPROJAYA dan KOPGET serta penyampaian bantuan zakat oleh KOPROJAYA kepada beberapa pertubuhan amal.
Ewon berharap, koperasi-koperasi yang berjaya bukan hanya menyumbang kepada hasil negara tetapi turut membantu pertubuhan-pertubuhan lain yang memerlukan.
“Saya turut diberi-maklum mengenai cadangan kerjasama berterusan di antara KOPROJAYA dan KOPGET supaya kerjasama sedia ada tidak hanya terhenti dalam inisiatif Bazaar Riang Raya ini tetapi dapat dikembangkan menjadi inisiatif kekal.
“Saya menyokong kerjasama tersebut dan menawarkan bantuan Tabung Modal Pusingan -Suruhanjaya Koperasi Malaysia (TMP-SKM) sekiranya diperlukan untuk membangunkan kerjasama tersebut,” katanya.
Sebagai tanda sokongan kepada para peniaga, Ewon turut membeli produk-produk daripada setiap usahawan di bazar itu.
Dalam lawatan ke setiap gerai, Ewon turut mendengar pelbagai pandangan daripada para usahawan, antaranya cabaran dan prestasi jualan yang memberangsangkan serta cadangan supaya tapak jualan itu bukan hanya disediakan pada musim perayaan tetapi pada hari-hari biasa.
“Sebahagian besar usahawan menggunakan modal sendiri untuk memulakan perniagaan. Dalam masa yang sama, saya turut berkongsi peranan agensi-agensi pembiayaan dan bimbingan keusahawanan di bawah KUSKOP,” katanya.
Pada majlis itu, Ewon turut menerima taklimat ringkas daripada Koperasi Usahawan dan Pengusaha Foodtruck mengenai profil koperasi, operasi semasa serta cabaran-cabaran yang dihadapi.
“Saya turut dimaklumkan mengenai kerosakan harta benda milik koperasi akibat hujan ribut minggu lepas di MITEC. Saya telah meminta Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) untuk membantu koperasi ini di bawah program bantuan akibat bencana,” katanya.
Ewon juga mengalu-alukan hasrat koperasi ini untuk mengambil bahagian dalam program-program anjuran KUSKOP yang boleh menyediakan ruang kepada ahli-ahli mereka untuk berniaga.
Turut serta dalam tinjauan mesra di Bazar Riang Raya itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Suriani Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif SKM Rusli Jaafar, Pengerusi KOPROJAYA Saiful Azhar Shaharun dan Pengerusi KOPGET Mohd Fandy Zainal Abidin. – SM