Nasional

KUSKOP pastikan pembinaan Tamu Desa beri manfaat kepada penjaja, peniaga kecil

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan memastikan pembinaan premis Tamu Desa yang dilaksanakan di Sabah dan Sarawak memberikan manfaat kepada komuniti penjaja dan peniaga kecil.

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, pembinaan baharu dan penaiktarafan Tamu Desa sebanyak 36 projek di seluruh Sabah bagi fasa satu siap mendahului jadual yang telah ditetapkan.

“Bagi fasa dua pula, kita telah menyerahkan Surat Kuasa Pelaksanaan kepada para pegawai daerah dan penolong pegawai daerah yang terlibat untuk pembinaan 18 projek Tamu Desa, di seluruh Sabah.

“Mudah-mudahan pada tahun hadapan kita dapat meneruskan pelaksanaan Premis Tamu Desa seperti yang dibentangkan dalam Belanjawan 2025.

“Perdana Menteri telah mengambil kira permintaan kita dan seterusnya membentangkan sejumlah peruntukan yang boleh digunakan untuk meneruskan pelaksanaan Premis Tamu Desa pada tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat lima Tamu Desa yang siap di kawasan Kota Belud, pada Isnin.

Tamu Desa itu ialah Tamu Desa Lasou, Tamu Desa Lompios, Tamu Desa Nahaba, Tamu Desa Takulung dan Tamu Desa Piasau.

Turut serta dalam lawatan itu, Setiausaha Bahagian Pembangunan Koperasi, Penjaja dan Peniaga Kecil KUSKOP Azizul Alias dan para pemimpin setempat.

Ewon turut meninjau beberapa cadangan tapak pembinaan Tamu Desa di Kg.Podi, Kg.Kinasaraban dan Kg.Pangi.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berkata, secara keseluruhannya sebanyak 17 Tamu Desa dibina di Kota Belud dalam fasa satu dan fasa dua.

“Jumlah keseluruhan Tamu Desa di Kota Belud agak besar kerana saya mahu memantau sendiri pelaksanaannya. Selaku salah seorang rakan pimpinan di sini mudah bagi saya untuk memantau.

“Sebab ini adalah pertama kali dilaksanakan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan ia akan menjadi penanda aras kepada pelaksanaan premis Tamu Desa di daerah-daerah lain,” katanya.

Katanya lagi, banyak permohonan diterima daripada wakil-wakil rakyat seluruh Sabah dan Sarawak serta persatuan-persatuan penjaja dan peniaga kecil yang memohon disediakan kemudahan yang lebih baik untuk para penjaja dan peniaga kecil di kawasan mereka.

“Malah beberapa wakil rakyat dari Semenanjung juga mula menyatakan pandangan sekiranya Kementerian dapat memanjangkan pelaksanaan Tamu Desa di mukim-mukim atau kampung-kampung yang berada di luar bandar di Semenanjung,” katanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button