KUSKOP bantu jenama Robert T 1994 berkembang di Borneo
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sentiasa komited membantu usahawan-usahawan francais tempatan bagi memastikan jenama tempatan seperti Robert T 1994, terus berkembang pesat di pasaran Borneo.
Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) agensi di bawah kementerian menyalurkan pembiayaan RM500,000 kepada Robert T 1994 untuk menambah tiga lagi cawangan milikan korporat baharu di Suria Sabah, Bandar Baru Keningau dan Tawau.
Beliau berkata, walaupun jenama Robert T 1994 mula bertapak pada 2020 namun ia telah berkembang pesat dengan pembukaan cawangan di Kota Kinabalu, Penampang, Putatan, Keningau, Kota Belud dan banyak lagi.
Katanya, Robert.T 1994 merupakan contoh terbaik jenama homegrown Sabah yang kini memiliki 35 cawangan termasuk di Indonesia dan Brunei Darussalam.
“Ini membuktikan kemampuan jenama tempatan untuk bersaing di peringkat serantau dan menjadi salah satu jenama home grown kebanggaan negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Cabutan Bertuah Robert.T 1994, di Suria Sabah Shopping Mall, hari ini.
Ewon turut memuji usaha PERNAS kerana sentiasa mencari dan membangunkan usahawan-usahawan dan perniagaan baharu dalam sektor francais.
“Saya berharap melalui sokongan PERNAS, jenama-jenama tempatan termasuk Robert.T 1994 terus berkembang sekali gus memacu pertumbuhan sektor francais tempatan di Sabah dan pasaran serantau,” katanya.
Katanya lagi, sejak tahun 2014, PERNAS telah menyalurkan RM461 juta pembiayaan kepada 2,283 usahawan francais di seluruh negara termasuk RM12.4 juta kepada 68 usahawan di Sabah. – SM