KUO-SMKDHPJ jalin kerjasama jelajah ilmu rentas sempadan
Kolej Ungku Omar (KUO), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bersama Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Haji Panglima Jakarullah (SMKDHPJ), Semporna bekerjasama menjayakan Program Jelajah Ilmu Merentas Sempadan Siri I yang bertujuan mendekatkan hubungan warga universiti dengan komuniti.
Penolong Pegawai Tadbir, Hafiz Abd Manap yang mewakili Pengetua Kolej, Prof. Madya Dr. Mohd Nizam Nasrifan menyantuni delegasi SMKDHPJ yang tiba di UPSI baru-baru ini bagi jalinan kerjasama dua hala tersebut dalam pelbagai aspek termasuklah akademik, kebudayaan, penanda aras, serta penginapan.
Program Siri I yang dirangka oleh Exco Biro Akademik dan Kerjaya, Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar itu turut membabitkan SMK Seri Jempol, Negeri Sembilan dan Kolej Vokasional Sepang, Selangor yang menyaksikan beberapa aktiviti dilaksanakan antaranya perkongsian ilmu bersama pelajar, lawatan penanda aras serta pertukaran budaya antara sempadan.
Hafiz terharu dengan kehadiran delegasi dari SMKDHPJ, Semporna yang sudi bersama KUO sebagai rakan kolaborasi untuk program pada siri I ini, walaupun jauh dipisahkan lautan masih sanggup hadir dan sama-sama menjayakan program yang telah dirancang” katanya dalam teks yang dibacakan oleh pegawai tersebut.
Program yang dijalankan selama tiga hari itu, katanya, melibatkan 200 pelajar tingkatan empat dan lima serta pelajar semester akhir (Kolej Vokasional) SMK Dato’ Haji Panglima Jakarullah, SMK Seri Jempol dan KV Sepang serta UPSI hadir pada sesi yang dijalankan di sekolah masing-masing dan UPSI.
Katanya, setiap sesi yang dijalankan di sekolah mendapat sambutan dan sangat-sangat dialukan untuk dilaksanakan pada siri yang seterusnya dalam memberi pendedahan kepada pelajar berkaitan akademik, perkongsian mahasiswa terhadap alam pendidikan di universiti dan tambah baik sistem pengurusan pentadbiran, penginapan dalam sesi penanda aras.
“Besar harapan kami sekiranya program ini dapat diteruskan di seluruh semenanjung dan jika diberi kesempatan dapat dilebarkan juga di Sabah dan Sarawak” katanya lagi.
Sementara itu Pengetua SMKDHPJ, Tengku Mohd Nazri Tengku Anang selaku pegawai pengiring yakin program yang dilaksanakan mampu memberikan impak positif kepada pelajar dan mahasiswa yang terlibat.
“Saya berharap pelajar memanfaatkan segala ilmu dan perkongsian dalam setiap sesi yang dijalankan dari persiapan menganjurkan program sehinggalah hari kita melaksanakannya kerana di dalamnya terdapat perkara yang belum tentu ada disampaikan oleh guru-guru atau pensyarah di dalam kelas mahupun kuliah” katanya.
Melalui program ini, katanya, pelajar dan mahasiswa berpeluang mencipta pelbagai pengalaman dan dapat memikirkan hala tuju seterusnya dalam memilih haluan pendidikan dan kerjaya yang diidamkan.