Nasional

Kukuhkan etika kewartawanan, hentikan laporan jelek

ANALISIS Oleh Shahbudin Embun

MASYARAKAT secara umumnya sukakan sesuatu berita yang sensasi. Apatah lagi kalau ianya melibatkan selebriti ataupun VVIP. Itu sebabnya jika berlaku sesuatu perbicaraan yang melibatkan golongan seperti ini, apa yang lebih dipaparkan ialah kisah disebalik isu atau kes yang dibicarakan.

Menerusi medium sosial seperti facebook, twitter blogspot dan instagram, berita sensasi ini akan tersebar dengan pantas dan meluas.

Dalam hal ini wartawan yang melaporkan perlulah mengutamakan etika kewartawanan ketika melaksanakan tanggungjawab ini. Perlu diingatkan bahawa para wartawan merupakan golongan profesional yang mampu mempengaruhi pandangan masyarakat, melalui laporan yang disiarkan.

Di Malaysia sebenarnya masih ramai wartawan yang mengambil berat akan etika ini. Namun pada masa yang sama, khasnya dalam dunia di hujung jari ini, kita juga telah melahirkan ramai “wartawan “ yang bukan sahaja memberikan laporan yang berat sebelah tetapi juga melahirkan “hakim” yang telah menjatuhkan hukuman walaupun perbicaraan sebenar masih lagi dijalankan.

Lihat sahaja berita yang menyiarkan para selebriti yang dihadapkan ke mahkamah atau yang dibabitkan dengan isu yang melibatkan kerjayanya. Pada kebiasaannya, bukan isu atau kes sebenar yang menjadi tumpuan, tetapi kisah sampingan yang lebih sensasi yang telah diberi keutamaan. Dan apabila masyarakat membacanya, telah mendorong mereka membuat satu andaian atau penghakiman berdasarkan kisah sensasi dan bukan pada fakta-fakta yang melibatkan isu ini atau yang dihujahkan di mahkamah.

Nampaknya kenyataan seseorang itu didapati tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah sukar untuk diamalkan di media sosial. Awal-awal lagi, mereka telah dijatuhkan hukuman khasnya oleh warga komuniti alam maya yang lebih mempercayai pada berita sensasi yang boleh mengundang kepada fitnah. Itu yang membimbangkan kerana sebagaimana yang dijelaskan, kebanyakan berita sensasi yang disebarkan tidak bersangkut paut langsung dengan kes yang dibicarakan.

Antara contoh lain ialah liputan media terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam oleh sebuah portal berita yang memiliki lebih 1 juta follower dan subscribers.

Bagi mereka yang mengikuti kes mahkamah ini, mungkin lebih tertarik dengan pelbagai kisah sampingan yang melibatkan Ahmad Zahid. Harta dan kemewahannya serta cerita tokok tambah diceritakan oleh beberapa wartawan seolah-olah untuk menggambarkan bagaimana beliau memperolehi kekayaan dan bebelanja seperti mengupah thug dan gangster dan dengan secara tidak langsung masyarakat umum dan warga internet akan terus menjatuhkan hukuman terhadap beliau.

Sedangkan apa yang sebenarnya berlaku bukanlah sesuatu yang luar biasa. Ini disebabkan Ahmad Zahid merupakan seorang ahli perniagaan yang berjaya sejak awal lagi. Dan kita perlu ingat juga bahawa beliau pernah menjadi Pengerusi Bank Simpanan Nasional (BSN) pada tahun 90an dahulu. Apa yang ditonjolkan oleh “para wartawan” ini tidak ada kena mengena langsung dengan kes yang sedang beliau hadapi. Ini merupakan satu taktik propaganda murahan yang perlu disekat.

Ternyata ianya merupakan satu taktik kotor oleh musuh politiknya untuk memburukkan nama Ahmad Zahid supaya dia dihukum oleh masyarakat yang lebih suka akan sesuatu yang sensasi tanpa menyelidik sama ada ianya benar ataupun palsu.

Perkara seperti ini tidak memberikan keadilan yang sepatutnya kepada Zahid Hamidi. Biarlah mahkamah sebenar yang membuat keputusan dengan adil setelah mendengar hujah dan fakta dari pihak pendakwaraya dan juga pihak peguam yang membela beliau.

Perkembangan seperti ini amatlah bahaya dan jika tidak diawasi dan dibendung sudah pasti akan merosakkan pemikiran masyarakat.

Dalam hal ini masyarakat juga perlu berfikir dengan wajar dan rasional. Setiap berita yang disampaikan perlukah diteliti dengan mendalam. Tanyakan kepada diri anda. Adakah cerita ini relevan dengan kes yang dibicarakan?

Adakah kemungkinan besar, berita seperti ini sengaja diperbesarkan supaya kita semua menjadi hakim dan terus menjatuhkan hukuman kepada tertuduh tanpa memberikan peluang kepada yang dituduh membela diri mereka di mahkamah yang sebenar!

Perlu diingatkan sekali lagi bahawa para wartawan boleh dianggap seperti ejen perubahan masyarakat.Itu sebabnya profesion ini memerlukan mereka yang mengutamakan integriti, amanah dan mengamalkan etika yang sebetulnya sebelum menulis dan menyebarkan sesuatu berita itu.

Sekiranya etika kewartawanan di media massa tidak dipantau dengan lebih berkesan, adalah menjadi satu kebimbangan ianya boleh terpesong ke arah kegiatan seperti menabur fitnah serta pembohongan.

Apabila ini berlaku maka akan rosaklah sesebuah masyarakat itu yang akan terus disuap oleh pelbagai berita yang sensasi dan mencurigakan.

(Shahbudin Embun: Pengerusi Biro Politik
Majlis Perundingan Melayu Malaysia (MPM). [email protected]) SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button